Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Wednesday, January 12, 2011

MB Selangor Cuba Ambil Alih Kuasa Sultan?

REGIM Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor terus cuba mempolitikkan segala-galanya dalam menguruskan pentadbiran di negeri Selangor termasuk awal bulan ini, kita menyaksikan bagaimana isu air dipolitikkan sehingga beliau menyalahgunakan RM 265,000 wang rakyat untuk membiayai `Demonstrasi Haram baju Merah’ di Masjid Negara.

Apa kuasa MB? Adakah lantik SUK itu kuasa MB? Undang-undang mana yang perlu diikut dalam soal perlantikan ini ?

Dalam undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, dengan jelas disebut antara kuasa Sultan adalah untuk memperkenan melantik MB dan Jemaah Exco. Jemaah Exco itu termasuklah SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang negeri. Ketiga-tiga pegawai kanan Pentadbiran negeri ini merupakan ahli Exco (Ex-Officio) kepada Jemaah kabinet negeri yang disebut Exco itu.

Secara specifik juga dinyatakan SUK harus dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan. Suruhanjaya disini bermaksud Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Walaupun perkataan “awam” tidak ada disebut, namun ia membawa maksud SPA kerana jawatan SUK itu adalah jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) kanan.

Jawatan pegawai PTD kanan ini lahir melalui sistem SPA. Ia juga amalan lazim yang sudah diterima sebagai konvensyen kaedah perlantikan SUK di Selangor yang mewarisi sistem pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Yang lebih mustahak, Menteri Besar tidak mempunyai kuasa lantikan tersebut. Juga perkenan dan makluman MB tidak perlu diminta. Lantik, perkenan atau maklumkan kepada MB memang tidak disebut dalam undang-undang tubuh Kerajaan Negeri. Adakah MB boleh tubuhkan Suruhanjaya ?

Jawapan nya tidak kerana Suruhanjaya perlu diluluskan oleh Parlimen dengan kelulusan Undang-undang. MB juga tidak ada kuasa di bawah Undang-undang negeri untuk menubuhkan Suruhanjaya. Apatah lagi bila MB “bermain pondok-pondok” dengan mewujudkan “panel” menemuduga bakal SUK.

Yang perlu diminta perkenan adalah Sultan, kerana baginda diberi kuasa demikian untuk melantik MB dan Jemaah Exco seperti mana yang disebutkan awal ini. Oleh yang demikian mempertikai perkenan Sultan merupakan perderhakaan kepada Institusi Beraja yang sekian lama terlaksana dinegeri Selangor ini.

Kisah pertikaian perlantikan SUK ini bukan pertama kali berlaku di negeri Selangor. Di zaman pemerintahan BN dan semasa Sultan Abd Aziz Shah menjadi Sultan, baginda juga pernah tidak memperkenan perlantikan seorang SUK, yang akhirnya calon SUK tersebut digantikan dengan orang lain.

Selangor lahir dengan tamadun zaman berzaman sejak Bendahara Agung Melaka Tun Perak menjadi Penghulu di Kelang. Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 merupakan undang-undang yang dinobatkan berpandukan pelbagai dokumen yang mengikat zaman-berzaman. Undang-undang ini akan terus mengikat sesiapa sahaja yang menjadi membesar dan pemerintah di Selangor ini.

Baginda Sultan tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri Selangor, seperti yang di gembar-gemburkan oleh juak-juak pakatan. Baginda cuma melaksana kuasa yang diberikan oleh Undang-undang, agar pentadbiran negeri berjalan dengan lancar, baik dan aman untuk kepentingan rakyat jelata.

GAPS menyeru kepada regim Khalid agar segera meletakkan jawatan kerana sentiasa mempolitikkan semua perkara dalam pentadbirannya dalam masa 3 tahun ini. Selangor nampaknya menjadi mundur, miskin dan kacau bilau dalam tempoh ini. Ini terbukti dari pelbagai penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri lewat tiga tahun ini.

Selangor Darul Ehsan akan lebih sejahtera, aman dan makmur dengan kepimpinan negeri yang dinamik, terbuka, bertanggung jawab dan kurang “politiking’’.

No comments:

Post a Comment