Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Tuesday, June 29, 2010

Benar, kita masih di zon selesa...

SAYA membaca tulisan Saudara Shuibdiera yang tersiar dalam ruangan ini (25 Jun 2010) dengan perasaan bangga dan lega. Saya bersyukur bila mana menyedari ada anak muda profesional Melayu Islam yang membaca Utusan Malaysia, akhbar yang menjadi tempat orang Melayu meluahkan perasaan melahirkan pemikiran.

Ironinya ia berlaku dalam kesibukan sesetengah pihak melakukan pelbagai usaha memulau, melabel dan meruntuhkan reputasi Utusan. Ini menggambarkan betapa saudara berjaya membebaskan diri daripada 'perangkap persepsi negatif'.

Saya juga berasa lega apabila ada lagi anak muda Melayu Islam yang menggunakan hak sebagai pengundi menghormati kehendak demokrasi (walaupun sebagai pengundi atas pagar). Kajian menunjukkan bahawa peratusan anak muda Melayu Islam yang mendaftar sebagai pengundi baru amat rendah berbanding kaum lain.

Saya semakin lega dan amat bersyukur menyedari bahawa ada anak Melayu Islam seperti saudara yang berkongsi kerisauan melihat kegagalan agensi- agensi kerajaan melaksanakan dasar yang digubal khasnya bagi membantu rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik. Tentunya saudara menyedari bahawa kegagalan sebahagian perancangan adalah akibat kelemahan pelaksanaannya.

Saya juga seperti saudara, melihat betapa Datuk Seri Najib 'bersendirian' dalam usaha merasai denyut nadi rakyat. Benar, ada pimpinan kerajaan dan parti tidak cukup kuat menjayakan dasar yang disepakati bersama. Slogan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' seakan kurang dihayati. Ada pemimpin tidak ghairah turun ke bawah kerana selesa berada di atas.
Bagaimanapun izinkan saya untuk melontarkan beberapa pandangan.
1. Parti pemerintah, insya-Allah tidak akan lena dan alpa dengan pujian. Rasulullah sendiri banyak kali memuji sahabat secara terbuka sebagai usaha mengangkat 'harga diri' mereka. UMNO khasnya dibina atas resah gelisah umat Melayu apabila dipaksa menerima Gagasan Malayan Union. Nasib bangsalah yang menjadi perkiraan ketika itu. UMNO jugalah yang menggubal dan melaksanakan dasar sehingga lahir orang seperti saudara, profesional, bijak dan berani. Bahkan inilah juga dasar yang melahirkan Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim, Lim Kit Siang dan Karpal Singh. Mana mungkin parti sehebat ini terbuai dengan satu pujian.
2. Apabila saudara mengajak untuk menilai dan menganalisis siapakah anak muda yang hadir ke perhimpunan atau mesyuarat UMNO, saya yakin saudara adalah seorang yang amat berhati-hati. Ini sikap terpuji sebenarnya tetapi sikap berhati-hati jangan dicampuradukkan dengan sangkaan buruk. Sangkaan buruk akan melemahkan jiwa saudara. Inilah 'keramatnya' UMNO. Datanglah sesiapapun kepada UMNO. Pintu UMNO sentiasa terbuka.
3. Apabila saudara menyatakan ada lagi rakyat yang tidak menerima kesan kemakmuran negara, ini juga sebahagian kejayaan kerajaan. Kerajaan yang gagal tidak akan membenarkan berita derita ini tersiar di media. Kerajaan yang berjaya ialah yang sanggup menerima teguran dan segera memperbaiki keadaan. Saudara tentunya dapat melihat usaha yang sedang giat dijalankan sekarang.

Akhirnya, apabila saudara bertanya adakah kita berada di Zon Selamat, saya dengan yakin ingin menyatakan kita memang berada di Zon Selamat selagi ada orang seperti saudara yang mahu, sanggup dan berani berpencak di gelanggang UMNO. Ayuh mari kita teruskan perjuangan.

Krisis PKR harus buka mata rakyat Selangor


Krisis kepimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kebelakangan ini menjejaskan keberkesanan pentadbiran negeri Selangor yang akhirnya merugikan rakyat negeri itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, krisis berkenaan seharusnya membuka mata rakyat Selangor kerana ia jelas menunjukkan kepimpinan PKR bukan sahaja tidak dapat diterima rakyat, tetapi juga ahli-ahli parti pembangkang itu sendiri.

"Perkara ini seharusnya membuka mata seluruh rakyat Selangor, apa yang berlaku nampak jelas kepimpinan PKR bukan sahaja tidak dapat diterima rakyat, tetapi juga ahli-ahli mereka. "Sejak beberapa bulan ini banyak isu yang jelas timbul, maknanya kepimpinan PKR tidak ada kesepakatan sehingga ganggu-gugat pentadbiran negeri dan rakyat akan rugi. ''Ia harus dijadikan satu iktibar, saya pasti rakyat Selangor mahu pembangunan dan pentadbiran lancar. Negeri termaju merosot hanya kerana parti tidak ada kemampuan mentadbir dan menjadi beban merugikan," katanya pada sidang akhbar semasa mengadakan lawatan kerja tiga hari di Jakarta, Indonesia.

Muhyiddin diminta mengulas pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor bagi menggantikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Ia dipercayai adalah sebahagian daripada rancangan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memantapkan parti itu di Selangor. Keputusan itu juga dilihat sebagai usaha untuk mengenepikan Menteri Besar tersebut kerana tidak lagi mendapat kepercayaan Anwar. Menurut sumber, beberapa isu yang tercetus di negeri berkenaan memperlihatkan kelemahan Abdul Khalid sebagai pemimpin parti dan negeri.

Ini termasuk ketidakpercayaan ahli akar umbi PKR terhadap kepimpinan Abdul Khalid di Kuala Selangor, penyelewengan penjualan pasir dan pengambilan tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang gagal ditangani baik sehingga menyumbang kepada kekalahan PKR dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Selangor perlu dirampas kembali...






27 JUN 2010, Alhamdullilah selesai sudah mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Selayang baru-baru ini, ia telah dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO Malaysia dan merupakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr.Haji Ahmad Zahid Bin Hamidi.

Pesanan, teguran serta ingatan yang beliau lemparkan harus dijadikan satu cabaran yang perlu diambil oleh semua perwakilan yang hadir, jika ingin melihat UMNO terus relevan di hati rakyat. Jika gerak kerja tidak diatur dengan sebaik mungkin atau dilakukan, bagaimana mungkin kita akan dapat menawan Negeri Selangor kembali. Tegas beliau, lihat Kelantan, sudah 15 tahun mereka mentadbir, mereka sudah menyusun kekuatan supaya mereka terus berkuasa, sudah pastinya jika kita hendak mengambil alih agak susah sedikit kerana mereka telah bertapak lama. Kita juga perlu lihat bagaimana Negeri Terenganu kita dapat tawan kembali, ini perlu kita pelajari pendekatan yang diambil.

Di masa ini, berbagai kelemahan serta pergolakkan telah berlaku di Selangor yang di tadbir oleh pakatan pembangkang, inilah masanya kita memberi penjelasan kepada rakyat Selangor, jangan kita di dalam keadaan selesa, turun serta jelaskan kepada rakyat Selangor. Kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri perlu ambil peranan serta jelaskan kepada golongan sasaran.

Kalau PRU ke-13 kita gagal menawan Selangor, kita fikir-fikirkanlah bersama nasib UMNO di Selangor. katanya lagi, sudah-sudahlah kita ini...., tumpukan perhatian kepada penyatuan serta gerak kerja untuk UMNO, Presiden dan Tim.Presiden serta Naib-Naib Presiden penat kerja jika kita semua tidak membantu. Oleh itu kita perlu bersatu dan seiringan berkerja memastikan parti kita kembali diyakini oleh rakyat pada PRU ke-13.

Di dalam majlis yang sama juga, beliau telah merasmikan Pelancaran Kelab Veteran UMNO Bahagian Selayang. UMNO Bahagian Selayang mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri kerana sudi hadir merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Selayang kali ke-22.

Syabas kepada mereka yang berjaya ke G7

1. Anuar Bin Abd.Aziz

2. Dato' Ahmad Bahri

3. Hussin Bin Mohd Noor

4. Tn Hj.Md Nasir Bin Dayat

5. Pn.Nootrah Bt. Abdullah

6. Azmee Bin Masrus

7. Mohamad Yan Bin Abdullah

27 Jun 2010, telah berlangsungnya mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Selayang yang menyaksikan 24 orang bertandingan merebut perwakilan G7 ke perhimpunan Agung UMNO Malaysia.

Syabas kepada mereka yang berjaya. Semoga mereka ini memikul amanah yang diberikan perwakilan. Mereka perlu faham peranan mereka sebagai G7, akar umbi juga mengharapkan satu makenisma serta perubahan.

Kali ini kita dapat menyaksikan muka baru dan lama digabungkan dalam perwakilan G7, ini satu pembaharuan yang berani dilakukan oleh perwakilan yang hadir. Isyarat ini perlu berkekalan jika kita mahu melihat UMNO itu masih utuh dan kuat.

Thursday, June 24, 2010

7 sebab pembangkang mahu pilihan raya segera

Petikan UM 24hb Jun 2010,

SEJAK akhir-akhir ini timbul keghairahan khasnya parti pembangkang untuk memperkatakan Pilihan Raya Umum ke 13. Umum menyedari bahawa kita masih mempunyai masa sebelum tempoh sebenar wajib pilihan raya sampai iaitu pada tahun 2013.

Pihak pembangkang seakan-akan terdesak termasuk membuat cabaran agar Parlimen segera dibubar, kononnya bagi rakyat membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan sedia ada.
Hakikatnya pilihan raya pasti akan diadakan sebagai memenuhi tuntutan demokrasi. Saya menjangkakan sekurang-kurangnya tujuh sebab mengapa pembangkang ingin pilihan raya segera diadakan:-

Pertama
: Pembangkang dapat melihat dan merasakan momentum sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) semakin meningkat. Sikap rendah diri dan prihatin yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri memang menggusarkan pembangkang. Ungkapan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' seakan menjadi fenomena dalam negara.

Kedua: Sikap dan pendekatan Perdana Menteri sebenarnya merangsang para menteri dan wakil rakyat bekerja lebih tekun dan gigih. Banyak masalah rakyat yang tertunggak selama ini dapat diselesaikan. Dalam kegawatan dan kemelesetan ekonomi, rakyat sebenarnya masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Pembangkang gagal membuktikan bahawa ada rakyat benar-benar menjadi mangsa kemelesetan ini.

Ketiga: Mesyuarat UMNO Cawangan dan Bahagian yang telah dan sedang berlangsung menunjukkan bahawa UMNO berada pada landasan yang betul. Kehadiran ramai golongan muda dalam mesyuarat tersebut menggambarkan bahawa UMNO memang mempunyai pelapis. Bahkan untuk memilih perwakilan ke Perhimpunan Agung, ahli UMNO tidak lagi ghairah berebut tempat. Kekukuhan UMNO memang tragedi bagi pembangkang.

Keempat: Pembangkang ketiadaan isu jelas untuk dilontarkan kepada rakyat. Isu lama diulang-ulang sehingga menimbulkan rasa bosan bahkan setiap isu ini tidak pula dapat dibuktikan. Program dan ceramah pembangkang juga didapati semakin hambar dan kurang sambutan

Kelima: Percubaan banyak pihak untuk 'membersihkan imej' Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya tidak berjaya termasuk yang cuba dilakukan oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Keenam: Muktamar Pas yang baru lalu juga gagal menghasilkan sesuatu yang objektif dan jelas. Peserta muktamar balik tanpa sebarang kerangka kerja yang boleh diguna pakai. Pimpinan menggunakan muktamar sebagai medan membela diri. Pas seakan kehilangan dasar dan arah.

Ketujuh: Negeri yang dikuasai pembangkang masih tidak menampakkan sebarang kejayaan. Rakyat mula menagih janji yang ditabur. Ada negeri dengan jelas menjalankan dasar berat sebelah. Tiada sebarang kemajuan dicapai selain ceramah dan kuliah.
Dalam masa yang sama pimpinan pakatan pembangkang dilihat tidak sekata dalam banyak perkara.
Berasaskan kepada tujuh sebab di atas saya percaya bahawa telah timbul kebimbangan bahawa BN akan menjadi semakin mantap manakala pembangkang menjadi semakin lemah.
Bagi mengelakkan lebih banyak kelemahan terdedah, pembangkang mendesak supaya pilihan raya disegerakan. Hakikatnya ialah, berasaskan apa yang dapat dilihat, pada bila-bila masa pilihan raya diadakan yakinlah rakyat akan menghukum pembangkang.

Wednesday, June 23, 2010

Ada tukang cucuk daging, ada tukang bakar dan paling jahat tukang kipas



KENYATAAN Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai amalan politik sate di kalangan pendokong parti itu patut mendapat perhatian serius semua pihak termasuk pemimpin dan mereka yang dipimpin dalam parti berkenaan.

Sebenarnya amalan memburuk- burukkan pemimpin dalam parti UMNO sememangnya sudah berlaku beberapa tahun lalu tetapi tidak ramai yang ingin mengambil tahu. Pemimpin yang benar-benar bekerja untuk parti dan rakyat negara ini sering menjadi mangsa fitnah dan berjaya ditumbangkan dalam pemilihan pemimpin parti bila tiba masanya.

Sesetengah ahli UMNO menganggap amalan dan budaya itu sudah sebati dan diterima pakai kebanyakan ahli parti.Ketika perpecahan orang Melayu dalam arena politik yang semakin meruncing di negara ini, saya menganggap kenyataan Ahmad Zahid harus diambil perhatian sebelum nasi menjadi bubur.

Orang Melayu perlu bersatu, rasional dan tidak sentiasa melayani emosi negatif agar pencapaian pemimpin UMNO dalam Pilihan Raya Ke-13 nanti disegani masyarakat Malaysia.
Saya bersetuju agar ahli UMNO berhenti mengamalkan budaya ‘politik sate’ yang berleluasa dalam parti itu kerana ia boleh menyemai perasaan benci di kalangan mereka sehingga menimbulkan perpecahan.

Sebarang perselisihan pendapat seharusnya diselesaikan segera supaya tidak berlarutan sehingga ke satu peringkat yang tidak boleh diselamatkan lagi. Kita tidak boleh amalkan politik sate kerana unsur sate yang mungkin ada dalam parti UMNO pada masa kini boleh merosakkan kehidupan orang Melayu.

Memang benar dalam proses membuat sate ada tukang cucuk daging, ada tukang bakar dan paling jahat tukang kipas kerana dia akan bakar daging untuk orang lain makan.Oleh itu ahli yang menjadi seperti tukang kipas dan tukang cucuk dalam UMNO adalah petualang parti yang mesti diketepikan sepanjang masa.

Nasihat Ahmad Zahid agar ahli UMNO tidak menyuarakan rasa kurang puas hati terhadap pemimpin secara terbuka kerana ia boleh dijadikan modal pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan parti memang ada kebenarannya. Saya ingin mencadangkan supaya UMNO mengaktifkan Biro Pengaduan Awamnya di setiap bahagian agar semua perasaan tidak puas hati diluahkan di situ. Semua aduan hendaklah dilayan secara profesional dan ada pegawai berpengalaman mengendalikannya. Banyak masalah dan isu boleh ditangani dengan lebih berkesan sekiranya biro ini diuruskan dengan baik dan teratur. Pemimpin bertanggungjawab di peringkat bahagian hendaklah mengkaji dan meneliti aduan ahli UMNO sekurang-kurangnya sekali setiap minggu. Semua tindakan pula hendaklah dimaklumkan semula kepada pengadu dalam tempoh yang singkat iaitu tiga hingga lima hari pada tarikh aduan diterima.

Letak jawatan: UMNO Selangor belum terima penjelasan Satim



Badan Perhubungan UMNO Selangor menolak dakwaan bahawa Timbalan Ketua Pembangkang Negeri, Datuk Mohamad Satim Diman akan melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat atas alasan 'merajuk' ekoran kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadapnya.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, pihaknya tidak fikir Mohamad Satim akan melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hanya kerana dikritik dalam laman-laman blog.
Kata Abdul Shukor, setakat ini pihaknya juga tidak menerima sebarang maklum balas daripada Mohamad Satim mengenai perkara itu.

"Saya tidak fikir dia akan melepaskan semua jawatan dalam parti hanya kerana merajuk dengan kritikan.
"Saya sendiri pun dihentam cukup-cukup menerusi laman blog dengan pelbagai dakwaan. Bagaimanapun, saya teruskan tugas dan tanggungjawab saya seperti biasa," tegasnya.

Abdul Shukor berkata demikian kepada Utusan Malaysia mengulas mengenai khabar angin bahawa ADUN Sri Serdang tersebut akan meletakkan jawatan dalam masa terdekat.
Tambah Abdul Shukor, sekiranya ada pihak menggunakan alasan tidak hadir mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang Mohamad Satim sendiri selaku Setiausaha, ia tidak bermakna wakil rakyat itu benar-benar mahu berbuat demikian.

Tuesday, June 22, 2010

Mampukah PEMUDA Selayang Kembali Bersatu...

Mesyuarat Perwakilan Pemuda Selayang telahpun selesai, persoalannya adakah mampu kepimpinan Pemuda Selayang dapat mengembalikan kegemilangan serta kekuatan Pemuda satu ketika dahulu.

Dapatkah Pemuda ini dijadikan sayap yang berperanan sebagai mata, telinga kepada rakyat serta memberi maklum balas kepada kepimpinan tertinggi seperti yang disarankan oleh PM kita.

Setakat mengajak, slogan, adakah sudah cukup untuk memastikan seluruh kepimpinan pemuda akar umbi dapat disatukan dalam menghadapi pilihanraya ke-13 akan datang.

Apa-apapun Pemuda Selayang perlu berperanan dan ikhlas dalam perjuangan, ini menjadi intipati sesuatu kekuatan. Pemuda selayang perlu diperkasakan dengan apa cara sekalipun, masa 2 tahun yang tinggal ini, bukan masanya untuk kita duduk dalam keadaan selesa. Apakah peranan kepimpinan Pemuda Selayang di dalam hal ini. Sudahkah perancangan disusun serta diatur atau sekadar cakap-cakap kosong je.

Jika dilihat kehadiran perwakilan yang datang ke mesyuarat perwakilan 2010 amat tidak menggalakan, malah tiada perubahan yang ketara dari kehadiran pada tahun 2009. Apakah tiada usaha yang dilakukan oleh pucuk kepimpinan Pemuda, sekadar melakukan cabutan bertuah ini sudah cukup menyakinkan, bahawa perwakilan akan hadir ramai. Tangapan ini tidak tepat, malah dilihat perwakilan tetap tidak hadir dan pulang awal.

Pendekatan ini dilihat sebagai "gula-gula" yang akhirnya menyebabkan roh semangat perjuangan secara keikhlasan akan sedikit demi sedikit hilang dari jiwa mereka. Bukan pendekatan ini tidak elok, tetapi kita harus meletakkan kesesuaian di mana tempatnya. Kita perlu menggerakkan kembali semangat kerja secara keikhlasan dan "semangat kerelaan" di kalangan Pemuda. Jangan kita terlalu mengajar Pemuda dengan terlalu banyak sogokkan dan mengelirukan fikiran mereka dengan "hadir ada habuan". Walaupun niat kita baik, tetapi kita perlu lihat kesannya di fikiran generasi ini.

Benarkah wujud konsep keterbukaan kepimpinan Pemuda Selayang terhadap perwakilan-perwakilan yang hadir. Apakah dengan cara "nak kerja masa" atau cakap mudahnya nak habis cepat, cukup memberi ruang kepada perwakilan menyuarakan hasrat serta ideal. Jika hendak melahirkan sesuatu produk yang berkualiti masa juga memainkan peranan penting. Kalau sekadar baca minit, OK, setuju, baik tidak perlu mesyuarat. Kesannya, ia memberi satu tekanan sehingga perwakilan mengambil jalan mudah, malas dan setuju, tetapi hakikatnya hati mereka tidak setuju. Masa akan datang kita minta kepimpinan Pemuda perlu fikirkan, jika kita hendak melihat Pemuda Selayang disegani pihak kawan dan lawan.

Kita juga tidak nampak hala tuju yang dirancang oleh kepimpinan Pemuda Selayang, semata-mata hanya mementingkan G2, G10.. dikalangan mereka. Isu-isu yang difokuskan lebih berbentuk global dan kita tidak nampak kesannya kepada Pemuda Selayang. Imbas kembali Isu-Isu 2009, apa yang telah dilakukan.. tiada. Cuba fikirkan, perkara-perkara ini, apa tindakan yang telah dilakukan:-

1. Jumlah keahlian pemuda seluruh Parlimen Selayang, sudah pihak kepimpinan memastikan seluruh ahli pemuda mengundi di Parlimen Selayang.

2. Statistik pengundi baru di kalangan Pemuda

3. Statistik Pemuda selayang yang dibantu meningkatkan ekonomi

4. Statistik bantuan Pendidikan yang dilakukan

5. Berapa ramai pemuda yang mampu diketengahkan dalam isu-isu agama

Kita terima teguran yang diberikan, supaya pemuda bersama dalam apa jua program yang dianjurkan. Malangnya perkara ini tidak berlaku. Akar Umbi juga ingin melihat kepimpinan Pemuda Selayang turun padang bersama juga dengan aktiviti di peringkat cawangan. Tetapi kebanyakan perkara ini tidak berlaku. Benar kata Cikgu Boy, kita lebih penting kerja luar dari menjaga rumah tangga sendiri.

Kepimpinan Pemuda Selayang juga perlu peka, bukan penyatuan sahaja yang perlu diperhatikan, malah dari segenap penjuru. Sikap berpuak mengikut DUN juga perlu dilihat.

Apa-apapun syabas kepada Pemuda Selayang kerana menjayakan mesyuarat Perwakilan..

Saturday, June 19, 2010

Kritikan: UMNO Selangor bersikap terbuka


UMNO Selangor bersikap terbuka terhadap kritikan termasuk penulis blog yang mendakwa parti itu gagal mengambil peluang daripada isu semasa dan tidak agresif dalam berhadapan dengan pakatan pembangkang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, segala pandangan sama ada positif mahupun negatif akan diambil kira bagi memastikan UMNO terus diterima rakyat."Kami sangat mengalu-alukan pandangan orang ramai, tidak terhad kepada bloggers sahaja tetapi meliputi pelbagai pihak kerana kita semua ada hak untuk menyatakan pendapat.

"Pada masa yang sama juga kita dapat lihat reaksi yang positif kerana kritikan itu menunjukkan orang ramai masih menaruh harapan dan memerlukan UMNO Selangor," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa UMNO Selangor dalam keadaan lesu sehinggakan ahli akar umbi mula bosan dan hilang semangat terhadap parti itu.

Menurut Noh, UMNO Selangor tidak seharusnya goyah dan gentar dengan kritikan yang dilemparkan namun harus bangkit untuk meneruskan perjuangan dan memperkasakan lagi parti."UMNO Selangor harus bergerak maju ke hadapan dan memperkukuhkan lagi strategi untuk menawan hati pengundi di Selangor.

"Selain itu, kita akan berusaha untuk memperbaiki diri sekiranya terdapat kelemahan dalam menerajui parti dan jika ia dapat diperbetulkan, pastinya kita akan
menang pilihan raya akan datang," katanya

Friday, June 18, 2010

UMNO Selangor "Are You OK"

Petikan UM 18hb. Jun 2010,
ISU UMNO Selangor yang dikatakan gagal menggunakan peluang daripada pelbagai isu yang dihadapi oleh kerajaan Selangor mendapat perhatian ramai penulis minggu ini manakala kisah perceraian bekas wartawan TV3, Azrinaz Mazhar Hakim dengan Sultan Brunei turut diberikan perhatian.
Blog Ruang Bicara Faisal (ruangbicarafaisal.blogspot.com) memetik satu e-mel yang dihantar kepada blog itu yang antara lain berkata, UMNO di Selangor kini terlalu lesu sehinggakan mereka di peringkat akar umbi sudah mula bosan dan hilang semangat.
Kata beliau, kumpulan di bawah kini kurang faham apakah strategi sebenar yang ingin dilakukan oleh UMNO Selangor terutama dalam usaha untuk merampas kembali negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
“Agaknya nak tengok pakatan di Selangor bankrap baru nak bertindak. Hello abang-abang di dalam perhubungan UMNO, kalau macam inilah cara nak bertindak bertambah payahlah kalau pakatan di Selangor pulih daripada kecedaraan. Lingkup UMNO di Selangor,” tulis e-mel tersebut yang disiarkan oleh blog berkenaan.
Hamidzun Khairuddin dalam Warisan 2057 (warisan2057.blogspot.com) yang memetik satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima berkata, UMNO Selangor sepatutnya ada skuad berani mati yang boleh menangkis isu daripada pihak pembangkang memandangkan banyak isu yang tidak tertangkis, terutama isu agama.
“Manakala isu yang besar seperti pasir yang sepatutnya boleh jadi bom atom bila dibantu oleh Ahli Parlimen Kapar, (ia) hanya jadi kentut mak nyah. Bolehkah (pada) PRU-13 (nanti), BN menang tanpa perlu serang pembangkang dan jawab isu.
“Tanah, pasir, hutan, air dan hasil bumi ini isu mengurus masa depan anak-cucu kita, isu cukup emosional. Khalid (Menteri Besar Selangor) pun dah kelam-kabut tetapi UMNO Selangor macam mengadap orang mati,” kata SMS tersebut.
Justeru, penulis berkata, sudah masanya pemimpin UMNO baik di peringkat perhubungan negeri mahupun Pusat mendengar rintihan akar-umbi ini dan mereka perlulah berubah dan bukannya perubahan kosmetik, jika mahu mememangi pilihan raya umum akan datang.
Blog Gerakan Anti-PKR (gerakan-anti-pkr.blogspot.com) pula berkata, Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Satim Diman dikhabarkan akan melepaskan jawatannya selepas “diserang” oleh penulis-penulis blog berhubung kelesuan UMNO negeri itu menentang kerajaan pembangkang.
Kata penulis ini, memang UMNO Selangor masih lesu, pemalas dan tiada langsung pergerakan untuk melawan kerajaan pembangkang di negeri itu dan ini disebabkan oleh kegagalan para pemimpin mereka sendiri.
“Percayalah, kami akan terjah kesemua pemimpin UMNO yang pemalas, tak boleh pakai dan tak menguntungkan perjuangan kita dalam mempertahankan Islam dan hak Melayu daripada terus dilacur oleh puak pakatan,” katanya.

Wednesday, June 16, 2010

Tahniah.. Semoga Jawatan yang diberikan, mampu dipikul..

Kuang, 15hb Jun 2010,

Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas UMNO Bahagian Selayang yang telah diadakan malam tadi, ia lebih difokuskan kepada persiapan menghadapi Mesyuarat Bahagian yang dijangkakan diadakan pada 27hb Jun 2010 (Ahad) di PGTC.
YB Abdul Shukur selaku Ketua Bahagian juga telah memaklumkan sedikit rombakan kepada kepimpinan UMNO Bahagian Selayang, di mana Sdra.Zarol Azahar Bin Othman telah dilantik menggantikan Cikgu Rasif yang melepaskan Jawatan sebagai Bendahari UMNO Bahagian.
Pada majlis ini juga, beliau sdra.Zarol telah mengangkat sumpah taat setia serta menyimpan rahsia. Semoga perlantikan ini dapat membawa perubahan dalam kepimpinan UMNO Bahagian serta dapat memantapkan lagi kepimpinan UMNO Bahagian.
Seluruh warga UMNO selayang mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Rasif serta tahniah kepada Sdra.Zarol. Apapun kita perlu ikhlas berkerja demi kepentingan parti, bukan diri sendiri..

Tuesday, June 15, 2010

Makluman..

Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Selayang :

Tarikh : 20 Jun 2010 (Ahad)

Masa : 1 Ptg - 6 Ptg

Tempat : Tiara Rini Ballroom, Hotel Royale Bintang, Damansara

Pakaian : Baju Rasmi Puteri ( Perwakilan)

"Semua dijemput hadir bagi menunaikan tanggungjawab sebagai ahli dan perwakilan"

Thursday, June 10, 2010

Majlis menyambut kepulangan "Shamsul Kamal Abdul Latif" sukarelawan Malaysia ke Palestin




Kuang 9, Jun 2010,

Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor bersama UMNO Bahagian Selayang telah mengadakan Majlis menyambut kepulangan "Shamsul kamal Bin Abdul Latif" Juru Foto Astro yang memyertai sukarelawan Malaysia ke Palestin dalam misi memberi bantuan kepada penduduk Gaza.

Shamsul Kamal merupakan anak kelahiran Kuang Selangor, sudah pastinya menjadi kebanggaan serta menjadi contoh kepada penduduk Kuang, lebih-lebih lagi golongan remaja. Hadir sama menyambut kepulangan beliau ialah YB Abdul Shukur selaku ADUN Kuang, Setiausaha Politik kepada Menteri Luar serta kepimpinan UMNO Selayang dan penduduk setempat.

Di Majlis ini, YB Abdul Shukur merasa bersyukur kerana ada anak Kuang yang sanggup berkorban demi agama dan negara, walaupun tawaran yang diberi tidak sampai pun 24 jam. Shamsul harus dicontohi oleh generasi Belia di Kuang, tanpa kekuatan sudah pastinya ia tidak akan berlaku. Walaupun tugas yang diberikan kepada beliau hanya merakam gambar, tetapi keadaan di sana, beliau berhadapan dengan peluru hidup yang belum tentu nasib beliau di dalam keadaan selamat.

Shamsul juga bercerita detik-detik cemas sewaktu beliau berhadapan dengan tentera Israel serta pengalaman menjadi tahanan. Semuanya tidak mematahkan semangat beliau jika ia menjadi sukarelawan kali ke-2 dalam misi bantuan ke Gaza, apabila ditanya oleh wartawan. Hadirin yang asyik mendengar ucapan dikejutkan apabila Pak Latif jatuh pengsan lalu dikejarkan ke hospital, apabila sebak sewaktu menyampaikan ucapan. Beliau merupakan bapa kepada Shamsul kamal, Doa kami semoga beliau sihat...

Rakyat Selangor dibohongi hasil perlombongan

UM10062010,

HASIL perlombongan pasir yang bernilai RM120 juta adalah angka yang dijanjikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat Selangor pada tahun lalu. Hasil itu diperoleh menerusi syarikat Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) iaitu anak syarikat kerajaan negeri yang diberi tanggungjawab untuk kegiatan tersebut.
Janji dikukuhkan lagi dengan hebahan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memberi gambaran indah bahawa kerajaan negeri memiliki sumber kewangan kukuh untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah yang masih melata di negeri ini.
Maklumat itu sentiasa dijaja kepada masyarakat bahawa banyak pembangunan akan dan sedang dilakukan kerana keuntungan itu akan disalurkan untuk menjayakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Malah antara tujuan utama KSSB ditubuhkan pada Jun 2008 adalah untuk membantu kerajaan negeri menjayakan MES sebaik sahaja pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan Selangor.
Hampir setahun hebahan dan janji-janji itu ditabur, tetapi hakikat sebenarnya jauh daripada realiti apabila perolehan KSSB pada 2009 hanya mencecah RM10 juta sebelum cukai.
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Ir. Ramli Abdul Majeed, setelah ditolak cukai sebanyak RM8 juta yang menjadi milik syarikat, hanya RM1.3 juta diserahkan kepada kerajaan negeri untuk MES.
Pendedahan pada pendengaran awam yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) pada minggu lalu memang mengejutkan.
Akhirnya, tembelang kerajaan negeri terbongkar apabila dimaklumkan bahawa jika hasil RM120 juta itu masih mahu dicapai, maka KSSB perlu menggali 66 juta metrik tan pasir setahun atau menjual 5.5 juta metrik pasir sebulan.
Apa yang menghampakan rakyat, KSSB kini hanya mampu menjual 17 tan metrik pasir setahun dan royalti kepada kerajaan negeri hanya RM31 juta.
Inilah hakikat sebenar yang rakyat perlu tahu dan angka-angka itu keluar dari mulut bos KSSB sendiri yang fokusnya bisnes, tiada unsur politik atau untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu.
Ramli yang berpengalaman luas dalam bidang perlombongan dan kepakarannya diiktiraf di peringkat antarabangsa memberi gambaran menggerikan dan mungkin tidak pernah terfikir oleh sesiapa pun.
Katanya, jika 66 juta metrik tan pasir digali, akhirnya Selangor akan menjadi sebuah negeri yang memiliki lubang yang amat besar sehinggakan rakyatnya tiada tempat untuk tinggal. Bayangkanlah jika ia betul-betul berlaku.
Sebenarnya fakta inilah yang disembunyikan kepada rakyat bahawa hasil perlombongan pasir boleh mencecah RM120 juta setahun tetapi natijahnya Selangor musnah menjadi satu lompang besar.
Fakta kerajaan negeri dan KSSB itu sepatutnya membuka mata rakyat untuk menilai semula janji-janji manis kerajaan negeri. Rakyat Selangor juga menilai mengapa janji-janji itu terus ditabur walaupun tahu dan sedar bahawa ia memang tidak mampu dicapai.
Begitulah tingginya harapan diletakkan kepada KSSB tetapi apakan daya, ia umpama hajat ingin memeluk gunung tetapi tangan tak sampai.

Wednesday, June 9, 2010

Tradisi bela rakyat subur di Kuang

KUANG 8 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus meneruskan tradisi membela rakyat yang menjadi slogan Barisan Nasional (BN) dengan memastikan setiap golongan miskin di kawasan itu mendapat pembelaan sewajarnya.
Menurutnya, program membasmi kemiskinan itu juga merupakan salah satu daripadanya janjinya kepada rakyat di kawasan itu apabila diberikan amanah memikul tanggungjawab sebagai ADUN pada 2008.
"Justeru, pada setiap pagi jumaat, saya akan turun padang untuk melawat penduduk setempat dan meninjau setiap masalah yang mereka hadapi.
"Bantuan akan disampaikan kepada rakyat yang kurang berkemampuan dan ia adalah salah satu cara untuk membantu mereka, selain program-program membasmi kemiskinan yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada 450 orang warga emas di kawasan Kuang di sini, baru-baru ini.
Bantuan sebanyak RM300 sebulan itu adalah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gombak.
Abdul Shukor berkata, selain warga emas, bantuan daripada JKM itu turut diberikan kepada kanak-kanak, anak yatim dan ibu tunggal yang layak.
"Kita akan meneruskan usaha ini supaya setiap rakyat di kawasan Kuang ini dapat hidup dengan lebih selesa," katanya.
Sementara itu, Pembantu Kebajikan Masyarakat Kanan, JKM Daerah Gombak, Kushiar Saian berkata, setiap bulan pihaknya akan menjalankan kajian semula terhadap setiap penerima bantuan.
Katanya, perkara tersebut penting bagi memberi kesamarataan kepada penerima dan pemohon.
"Permohonan yang diterima oleh JKM semakin meningkat pada setiap tahun dan kita perlu melakukan siasatan bagi memberi peluang kepada lebih banyak pihak menikmati bantuan yang disediakan," katanya.
Sementara itu, salah seorang warga tua yang menerima sumbangan itu, Woong Pak Cheong, 66, berkata, sumbangan itu mampu mengurangkan bebannya untuk menyara hidup.
"ADUN di sini sangat prihatin dan mengambil berat masalah kami, seterusnya menyalurkan sumbangan tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Wednesday, June 2, 2010

Lantikan JKKKP Penggal 2010 di Parlimen Selayang



Kuang, 2/6/2010..
Perlantikan JKKKP penggal 2010 telah diadakan di pejabat ADUN Kuang yang dirasmikan oleh YB Abdul Shukur Bin Hj.Idrus selaku Ketua UMNO Bahagian Selayang. Semua wakil JKKKP seluruh Selayang hadir pada majlis ini.
Pada majlis itu, beliau meminta seluruh kepimpinan JKKKP memainkan peranan menghampiri rakyat serta menjadi mata dan telinga kepada kerajaan persekutuan. Kita juga perlu menjadi kumpulan pendesak kepada kerajaan negeri, kerana kita membayar cukai serta mempunyai hak kepada pembangunan di negeri Selangor. Sewaktu PRU ke-12 dahulu mereka menjanjikan berbagai-bagai kepada rakyat dan kita berperanan mendesak mereka menunaikan janji yang telah mereka ucapkan.
Bukan masanya kita selaku JKKKP hanya diam dan merasa selesa, sebaliknya perlu berkerja keras serta menyelesaikan masalah rakyat. Cara ini kita dapat menyakinkan rakyat dan berharap mereka kembali menyokong kepimpinan kita. Peranan JKKKP ini besar, mereka lebih dekat kepada rakyat dan mereka tahu apa kehendak rakyat, oleh yang demikian kita perlu susun strategi bagi memastikan PRU ke-13 kita kembali menguasai Selangor.
Katanya lagi, JKKKP perlu agerasif serta peka kepada keadaan sekeliling, fahami hati rakyat dan bantu mereka jika mereka memerlukannya.

Keluar banyak, hasil kurang


UM 2/6/2010:
KUANG 1 Jun - Isu perlombongan pasir sama ada yang berlesen atau secara haram bukan perkara baru di Selangor. Ia dilaporkan berlaku di serata pelosok negeri itu sejak dahulu lagi berikutan permintaan yang tinggi dan keuntungan besar yang dijanjikan oleh industri tersebut. Namun, sejak akhir-akhir ini, aktiviti itu dikatakan semakin tidak terkawal sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat terhadap tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus turut melahirkan rasa hairan dengan aktiviti perlombongan pasir yang semakin menjadi-jadi di seluruh negeri itu. Beliau turut menyifatkan aktiviti itu seolah-olah tiada pengawalan oleh pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan.Lebih menghairankan, katanya, hasil yang diperoleh kerajaan negeri sangat tidak setimpal dengan aktiviti perlombongan yang dijalankan.

"Nampak (aktiviti perlombongan pasir) seperti tiada pengawasan langsung," katanya ketika ditemui di sini hari ini.Beliau mengulas pendedahannya baru-baru ini mengenai aktiviti melombong pasir yang semakin menjadi-jadi di negeri ini termasuk di Kuang sejak pakatan pembangkang memerintah Selangor.

Di Kuang sahaja, terdapat tiga tapak yang telah dikenal pasti oleh Pejabat Khidmat Masyarakat Barisan Nasional (BN) DUN Kuang.Dua daripadanya melibatkan pengorekan pasir di Sungai Kuang iaitu di Kampung Setia dan Kampung Gombak manakala satu lagi berhampiran Taman Rahmat Jaya, Kundang.

Bagaimanapun, ketika tinjauan dibuat, tiada aktiviti mengorek pasir di Sungai Kuang sedang dilakukan, yang menurut penduduk dihentikan setelah ia didedahkan oleh Abdul Shukor kepada media sebelum ini.Di Taman Rahmat Jaya pula, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak telah menempatkan pegawainya untuk mengawasi laluan keluar masuk ke tapak berkenaan.

Difahamkan, tanah berkenaan adalah milik persendirian tetapi pengusahanya tidak memiliki permit untuk mengeluarkan pasir dari kawasan tersebut.Difahamkan juga, terdapat loji mencuci pasir lombong di situ yang turut dipercayai diusahakan secara haram.

Abdul Shukor berharap pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dibuat sepanjang masa, bukan hanya apabila isu itu hangat di dada akhbar.Katanya lagi, beliau percaya banyak lagi lombong pasir wujud di Selangor sejak pakatan pembangkang memerintah tetapi hasil yang diterima amat memalukan."Saya masih ingat pada janji Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) sewaktu ucapan menjunjung kasih di hadapan Tuanku Sultan Selangor di Istana Klang.

"Beliau berjanji bahawa kerajaan negeri akan kumpul dana RM105 juta setahun berbanding hanya RM20 juta ketika di zaman pemerintahan BN."Apa yang berlaku adalah pada tahun lepas mereka hanya mendapat RM6.7 juta. Pada tahun 2008, mereka hanya dapat RM9 juta... tetapi pasir yang keluar, saya percaya berlipat kali ganda jumlahnya.

"Ini berasaskan kepada kewujudan pusat pengeluaran pasir bertambah macam cendawan tumbuh selepas hujan."Kita rugi kalau hasil dikeluarkan sedangkan rakyat tak dapat menikmatinya," katanya.Jelas Abdul Shukor lagi, sewaktu BN memerintah, pengeluaran pasir lebih terkawal kerana permit dihadkan dan syarikat yang mendapat kebenaran membayar premium terus kepada Pejabat Tanah dan Daerah.

Tegas beliau, BN mengehadkan pengeluaran permit agar tidak banyak kawasan terbiar wujud selepas sesuatu tapak ditinggalkan, sekali gus mengawal jumlah kawasan yang tidak boleh diusahakan untuk pembangunan.Mengenai pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mengenai amalan rasuah dalam kerja-kerja pengeluaran pasir di negeri itu, beliau berharap ia dibuat dengan ikhlas.

"Saya terperanjat apabila ahli parti mereka sendiri lantang mengkritik hal ini. Ini mungkin ikhlas. Mungkin juga gimik politik untuk tunjukkan ketelusan atau mungkin beliau kecewa kerana tidak mendapat layanan baik daripada pemimpinnya."Kalau ikhlas saya rasa seronok kerana kritikan bukan datang daripada kita (BN) tetapi orang dia sendiri. Rakyat boleh nilai bahawa benarlah kepincangan berlaku dalam kerajaan pakatan pembangkang di Selangor," katanya.