Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Wednesday, April 6, 2011

Isu Moral, Masalah Anak Syarikat, Jawatan Anwar Perlu Digantung

SHAH ALAM 6 April – Walaupun hanya dibayar RM1 namun kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor digesa untuk menggantung tugas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi negeri.

Ini berikutan Penasihat Ekonomi Selangor itu kini berdepan siasatan berhubung penerbitan sebuah video seks yang dikaitkan dengannya.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata penggantungan tugas sementara ini penting bagi menyelamatkan ekonomi negeri yang kini turut berdepan dengan pelbagai masalah yang melibatkan kerugian banyak anak syarikat kerajaan negeri.

Tegas beliau lagi Anwar juga dilihat begitu tertekan berikutan pelaku yang terlibat dalam video seks tersebut dikatakan mirip dirinya dan fokusnya kepada tugas mungkin terganggu.

Beliau berkata, penggantungan itu juga dapat menjaga imej kerajaan negeri daripada tercemar kerana Anwar sebelum ini menghadapi pelbagai tuduhan berkaitan moral.


“Mustahil Anwar boleh melaksanakan tugasnya dengan baik ketika beliau sedang menghadapi pelbagai tuduhan kesalahan moral termasuk tuduhan meliwat yang kini sedang dibicarakan di mahkamah.

“Untuk itu, kami menggesa supaya kerajaan negeri menggantung tugasnya supaya beliau (Anwar) boleh memberi tumpuan untuk membuktikan yang dirinya tidak bersalah terhadap segala tuduhan yang dihadapinya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran sebahagian daripada video aksi seks didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang yang dimuat naik ke laman YouTube semalam.

Ia didakwa merupakan video sama yang dipertontonkan kepada sekumpulan pengamal media di hotel Seri Carcosa, Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu.

Selain itu, tambah Abdul Shukor, Anwar juga dilihat gagal untuk melaksanakan tugasnya dengan baik sejak beliau dilantik memegang jawatan tersebut.

“Ini dapat dibuktikan lagi apabila ada laporan yang mendakwa anak syarikat kerajaan negeri berbelanja dengan boros tanpa memikirkan kepentingannya kepada rakyat,” tegasnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang.

SJKT Batu Arang dapat bangunan tambahan


RAWANG 5 April – Pembinaan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Batu Arang di sini dijangka bukan sahaja dapat menampung dua kali ganda jumlah pelajar India sedia ada tetapi juga dari kawasan berhampiran lain seperti Kuang, Kundang serta Tasik Puteri sebaik ia siap pada November tahun ini.

Ini kerana bangunan tambahan tiga tingkat yang mengandungi kira-kira 12 buah kelas, termasuk kelas prasekolah itu, berkeadaan selesa dan selamat berbanding sekolah papan sedia ada yang hanya mampu diisi kira-kira 280 pelajar ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus berkata, kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan kontraktor dilantik dan berkeyakinan ia mampu disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta bagi membina bangunan tambahan bagi sekolah itu berikutan bangunan sekolah sedia ada yang didirikan sejak 1928 itu sudah lagi tidak lagi mampu menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat setiap tahun.

“Permohonan untuk mendirikan bangunan tambahan sekolah ini tidak sampai setahun dibuat dan kerajaan pusat telah pun meluluskannya.

“Ini sekaligus membuktikan kerajaan Barisan Nasional sentiasa memastikan keperluan rakyat didahulukan tanpa mengira kaum,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas dibawa melawat tapak pelaksanaan bagi projek membina dan menyiapkan satu blok bangunan tambahan tiga tingkat dan kerja-kerja berkaitan di SJKT, Batu Arang di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis sama ialah Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak, Jamaludin Abdul Majid, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Gombak (Unit Pembangunan Sekolah), Fahrul Radzi Bustamin serta Penolong Kanan 1 (Pentadbiran) SJKT Batu Arang, M. Sellam.

Abdul Shukor berkata, usaha ini juga membuktikan kerajaan tidak pernah terlepas pandang terhadap usaha menyediakan kemudahan pendidikan sempurna untuk kaum India di negara ini.