Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Tuesday, April 6, 2010

Wakil rakyat BN ambil perhatian peringatan PM

UM : 6 April 2010,

Peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa hanya wakil rakyat cemerlang akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 disifatkan sebagai tepat dan memahami keperluan serta kehendak rakyat.

Beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berkata, ingatan itu menunjukkan bahawa wakil rakyat adalah pihak yang amat penting kepada masyarakat dan perlu benar-benar ikhlas berkhidmat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, apa yang dinyatakan Perdana Menteri itu sememangnya wajar dijadikan sebagai satu bentuk 'amaran' kepada semua wakil rakyat BN untuk mempertingkatkan prestasi masing-masing.

"Bagi saya kalau betul wakil rakyat BN bekerja kuat, turun padang dan buat walkabout maka tidak ada sebab kenapa rakyat perlu tolak BN," katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Parlimen hari ini.

Najib pada temuramah bersama Bernama TV semalam mengingatkan wakil rakyat BN supaya memastikan rekod cemerlang dalam kad laporan masing-masing atau berhadapan kemungkinan tidak dicalonkan semula pada PRU Ke-13.

Noh yang merupakan Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, walaupun mempunyai kekangan masa, wakil rakyat perlulah bijak mencari masa dan tenaga untuk bersama rakyat serta memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang merupakan Ahli Parlimen Bentong, pula berkata, setiap wakil rakyat BN perlu bersedia untuk bekerja keras bagi berkhidmat kepada rakyat.

"Saya rasa apa yang dikatakan (Datuk Seri) Najib itu memang benar dan adalah penting untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar cemerlang pada pilihan raya umum akan datang.
"MCA sendiri akan mengenal pasti mana-mana calon yang mendapat sokongan rakyat dan akan buat analisis sebelum mencalonkan sesiapapun pada pilihan raya umum nanti," katanya.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyokong sepenuhnya pandangan Perdana Menteri bagi menjamin kemenangan BN pada pilihan raya tersebut.

Kata Ahli Parlimen Kemaman itu, beliau setuju kriteria pelantikan calon BN diperketatkan bagi memastikan wakil rakyat yang dipilih betul-betul mementingkan kebaikan dan membantu rakyat Malaysia.

"Sebenarnya, ini bukan perkara baru dan ia adalah bertujuan memastikan calon BN betul berkhidmat kepada masyarakat negara ini. Sehubungan itu, ini adalah langkah baik kerana ia boleh menjamin kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, setiap wakil rakyat BN perlu bersiap-sedia untuk terus memperbaiki diri sendiri demi kepentingan rakyat.

"Apa yang penting adalah untuk wakil rakyat berbakti kepada rakyat jadi amat penting untuk kami ada petunjuk prestasi sendiri dengan mengambil perhatian serius kepada ingatan Perdana Menteri itu.

"Namun, terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukan sama ada tugas yang kami semua lakukan sebelum ini sebagai cemerlang atau tidak," katanya.

No comments:

Post a Comment