Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Thursday, April 8, 2010

Komponen BN perlu amalkan sikap 'abang-adik' untuk tarik sokongan

Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya mengamalkan semangat permuafakatan serta cara bekerja seperti 'abang-adik' bagi menarik semula sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed menegaskan, semangat demikian perlu dipupuk semula kerana ia adalah antara kekuatan yang dapat mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN bagi menjaga kepentingan dan masa depan mereka.
Ini kerana katanya, permuafakatan dan hubungan antara parti komponen yang mewakili semua kaum dilihat terbukti mengukuhkan BN sejak penubuhan Parti Perikatan dahulu.
''Sudah tiba masanya untuk kita berubah. Kita harap semua kaum sama ada Melayu, Cina dan India memahami tuntutan itu. Kalau dahulu semua kaum boleh bersama di bawah Parti Perikatan, jadi kenapa sekarang kita tidak boleh berbuat demikian, kita semua perlu kembali berkuasa.
''Untuk berubah, semua parti komponen BN perlu kembali bersama dan bekerja sebagai 'abang-adik'. Masalah semua kaum adalah masalah bersama tidak kira sama ada Melayu, Cina dan India," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan selaku Pengerusi Konvensyen BN Selangor di sini hari ini.
Konvensyen sehari bertemakan BN Mampu Berubah, Sayangi Selangor, Yakin BN itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar serta lebih 2,000 pemimpin bahagian dan akar umbi komponen BN di seluruh Selangor.
Tambah Mohd. Zin, sekiranya tiada perubahan dilakukan oleh semua peringkat dalam parti komponen BN di Selangor, adalah sukar bagi parti itu untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen di negeri itu meskipun UMNO bertanding di kawasan yang majoritinya pengundi Melayu.
Katanya, berdasarkan kajian, walaupun majoriti pengundi di sesuatu kawasan itu Melayu dan calon yang bertanding ialah ahli UMNO, tetapi BN tetap sukar meraih kemenangan tanpa sokongan daripada kaum lain.
Dalam ucapannya, beliau turut memberitahu, memahami punca sebenar kekalahan BN di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu juga penting diberi perhatian bagi memastikan BN terus diterima masyarakat.
Jelasnya, terdapat enam punca BN gagal mengekalkan kemenangan di Selangor antaranya ialah konflik muafakat, menjaga kepentingan diri, pergolakan dalaman lebih daripada membina kekuatan, berkhidmat secara inklusif kepada eksklusif, ketinggalan dalam perubahan teknologi serta kurang menyelami dan memahami aspirasi pengundi muda.
''Jadi, apa yang perlu dibuat ialah mengubah perkara yang tidak perlu agar BN tidak hilang kuasa. Segala kelemahan ini merupakan realiti, oleh itu, satu tindakan perlu dilakukan bagi menguruskan masa depan kita," ujarnya.

No comments:

Post a Comment