Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Thursday, April 1, 2010

Fikir-fikirkan....

"Kerusi tradisi atau naluri rakyat Hulu Selangor"

DALAM kenyataan terbarunya berhubung Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu berkata, beliau sudahpun menyerahkan senarai calon daripada parti itu untuk dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Maknanya, dalam kata mudah MIC tetap mahukan calon parti itu bertanding di kerusi Parlimen tersebut walaupun terdapat desakan kuat supaya pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) mempertimbang meletakkan calon UMNO di situ. Tidak kisahlah apa pun andaian atau kenyataan yang hendak dibuat oleh MIC atau mana-mana pemimpin tetapi apa yang pasti misi utama BN adalah untuk memenangi kerusi Parlimen berkenaan.

Justeru segala faktor perlu diambil kira terutamanya soal calon supaya BN tidak dilihat awal-awal lagi kalah sebelum turun ke gelanggang. Semua komponen BN harus mengakui bahawa pertarungan di Hulu Selangor bukanlah soal kerusi tradisi siapa yang harus dihormati tetapi apa yang lebih penting, adakah melalui kepatuhan sedemikian ia mampu membawa kemenangan kepada parti.

Atas sebab itulah, kenyataan Najib bahawa kehendak dan suara hati pengundi menjadi kriteria utama untuk memilih calon BN bagi pilihan raya kecil berkenaan adalah tepat.

Sementara permuafakatan dan menghormati kerusi tradisi sesebuah parti komponen BN menjadi pegangan tetapi apa kata rakyat yang bakal mengundi adalah lebih penting.
Justeru dalam soal ini kepimpinan BN perlu mempertimbangkan sama ada hendak mengutamakan kerusi tradisi yang belum tentu boleh menjamin kemenangan atau mendahulukan naluri rakyat yang boleh membawa kejayaan.

''Dalam suasana politik sekarang, kita tidak mahu ambil risiko untuk kalah, kita perlu fikir betul-betul soal calon dan ini terletak kepada pengundi menentukannya.

''Kita tidak boleh berpegang sangat kepada soal kerusi tradisi kalau ia boleh membawa kekalahan kepada BN,'' kata seorang pemimpin UMNO Selangor ketika dihubungi.
Kenyataan pemimpin UMNO itu boleh diibaratkan seperti jaringan gol dalam permainan bola sepak dalam satu perlawanan penting, tidak kira bagaimana ia dijaringkan termasuk gol sendiri oleh lawan asalkan kita menang.

Begitulah juga di Parlimen Hulu Selangor, usaha untuk mencapai kemenangan oleh BN tidak boleh dikompromi kerana kerusi berkenaan amat penting dalam situasi politik sekarang. Berdasarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan perbualan penulis dengan beberapa pemimpin politik dan pengundi di kawasan Hulu Selangor, mereka ternyata mahukan perubahan dari segi calon BN yang bertanding.

Daripada apa yang disampaikan ternyata ada desakan atau arus kuat supaya BN perlu melakukan sesuatu dalam soal meletakkan calon di Hulu Selangor, kali ini. Malahan penulis juga difahamkan tinjauan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu turut menunjukkan perkara yang sama.

Sebab itulah, ramai pihak bersetuju dengan kata-kata Najib bahawa, ''Kita akan rasai denyut nadi dan kenal pasti kehendak mereka, kerajaan sentiasa menekankan supaya rakyat didahulukan termasuk dalam isu pemilihan calon.''
Apa yang berlaku di Bagan Pinang, baru-baru ini sudah menjadi contoh, bagaimana apabila kehendak pengundi dipenuhi, maka kemenangan memihak kepada BN. Ini berbeza di Bukit Selambau, apabila desakan supaya kerusi Dewan Undangan Negeri itu diserahkan kembali kepada UMNO ia ditolak, akhirnya BN tewas.

Kita harus faham bahawa senario politik sekarang sudah berbeza, kalau dahulu parti menjadi faktor utama kemenangan tetapi sekarang calon pula menjadi penentu. Rakyat sudah tidak begitu mengambil kira kehebatan sesebuah parti, sebaliknya mereka melihat jika calon yang diletakkan adalah sesuai dengan kehendak dan suara hati mereka, sudah pasti undi akan diberikan.

Jika tidak, mereka lebih rela merosakkan undi atau melakukan undi protes yang akhirnya akan merugikan BN sendiri. Apa yang terjadi dalam pilihan raya umum lalu seharusnya menjadi pengajaran bermakna kepada BN bahawa apabila rakyat sudah marah dan tidak suka, katakanlah apa pun mengenai keupayaan BN, mereka tetap akan menolaknya.

Oleh itu kriteria calon berdasarkan kehendak pengundi amat penting dan perlu diberikan keutamaan oleh pucuk pimpinan BN bagi memastikan Parlimen Hulu Selangor tidak terus terlepas kepada pembangkang. Adalah sesuatu yang malang apabila di saat-saat BN berada dalam kedudukan terbaik untuk menguasai semula kerusi itu, harapan berkenaan hanya menjadi satu impian berikutan kegagalan meletakkan calon yang sesuai.

Jentera BN sudah tentulah akan turun habis-habisan di Hulu Selangor untuk memastikan kemenangan tetapi semuanya tidak akan bermakna kalau calon yang dipilih tidak sesuai dengan kehendak pengundi. BN tidak ada masa di Hulu Selangor untuk menghabiskan masa berhari-hari berkempen semata-mata memperkenalkan atau menerangkan kepada pengundi kenapa seseorang individu itu dipilih sebagai calon.

Pengundi tidak mahu tahu soal kerusi tradisi atau tidak, apa yang lebih mereka titik beratkan ialah adakah calon pilihan BN itu menepati kehendak dan dilihat memenuhi harapan mereka atau tidak. Turut perlu menjadi perkiraan BN ialah kekalahan di Hulu Selangor biarpun hanya satu kerusi ia bakal menjadi modal besar kepada pakatan pembangkang untuk menyebarkan dakyah-dakyah politik mereka.

Mungkin BN boleh memberi alasan bahawa mereka tersilap pilih calon tetapi kalah tetap kalah dan kesilapan itu tidak akan dimasukkan di dalam 'kamus' pembangkang apabila mereka hendak menguar-uarkan kepada dunia bahawa BN ditolak oleh rakyat.

Hujah bahawa kerusi itu memang milik pembangkang juga adalah satu hujah yang rapuh kerana BN hanya terlepas kerusi berkenaan pada pilihan raya umum lalu, lima penggal sebelumnya ia adalah milik BN.

''Inilah perkara yang kita bimbangkan, sebab itulah saya katakan pentingkan kehendak rakyat berbanding memikirkan soal kerusi tradisi. Saya percaya semua pemimpin komponen BN memahami pertarungan genting di Hulu Selangor tersebut,'' kata seorang lagi pemimpin komponen BN.

Mungkin Samy Vellu boleh berkata, "Kita belum hujan lagi, kenapa mahu cari payung'' ketika ditanya jika calon BN yang dipilih nanti tidak memihak kepada MIC.
Tetapi Samy Vellu juga perlu diperingatkan, lebih baik kita sediakan payung sebelum hujan, bagi memastikan kita tidak tersilap memilih payung yang bocor apabila hujan.

Kini terserahlah kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat keputusan yang terbaik. Apa yang pasti, sejarah sudah membuktikan seperti juga pilihan raya di kawasan lain sebelum ini, sebahagian pengundi Hulu Selangor tidak akan menunggu hari pengundian untuk membuat keputusan.

Mereka sudah berbuat demikian apabila parti-parti yang bertanding mengumumkan calon masing-masing. Oleh itu BN tidak boleh tersilap percaturan.

No comments:

Post a Comment