Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Thursday, July 1, 2010

Daftar pemilih peranan SPR


PENGESAHAN pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa masih ada 4.3 juta rakyat negara ini yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih adalah sesuatu yang tidak diduga sama sekali.

Walaupun kita tahu ramai yang mengambil mudah hal ini, angka sebanyak itu amatlah menggerunkan. Lebih-lebih lagi majoritinya adalah dari rakyat berbangsa Melayu. Hal ini disokong pula rumusan hasil kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO Malaysia, Hishamudin Yahya yang memperlihatkan nisbah pemilih Melayu dan bukan Melayu amat ketara perbezaannya iaitu 1 berbanding 40.

Nisbah yang berbeza ini jika tidak ditangani dengan betul mungkin ada kebenaran dengan pandangan sesetengah penganalisis bahawa satu ketika nanti kuasa politik kaum Melayu akan hilang sedikit demi sedikit. Sebaliknya kuasa politik dan teraju negara ini akan didominasi oleh kaum-kaum lain. Ramai beranggapan patut menyalahkan parti-parti politik Melayu khasnya UMNO kerana tidak agresif membawa masuk pengundi-pengundi baru mendaftar sebagai pemilih sedangkan parti-parti lain terutama DAP begitu giat memainkan peranan mereka ke arah itu. Ini berbeza dengan parti-parti kaum Cina dan India dalam Barisan Nasional (BN) yang ketinggalan mendaftarkan pengundi baru berbanding dengan usaha kaum masing-masing dalam PKR.

Namun di sebalik pendedahan tersebut, satu persoalan yang perlu difikirkan bersama ialah siapa yang sepatutnya memainkan peranan mendaftar pemilih baru? Adakah ia menjadi tanggungjawab parti-parti politik atau tanggungjawab SPR? Bukankah SPR yang sepatutnya memainkan peranan mereka menarik minat orang ramai mendaftar sebagai pemilih? Parti-parti politik hanyalah membantu dalam tugas-tugas suruhanjaya itu atas kapasiti menambah keahlian parti masing-masing. Bukanlah tugas hakiki parti politik untuk mencari, mempromosi dan mendaftar pengundi baru tetapi SPR yang sepatutnya berbuat demikian.

Sepatutnya SPR telah mengenal pasti sebarang kelemahan dalam sistem pendaftaran yang ada sekarang dan perlu dibuat penambahbaikan. Di era teknologi maklumat dan internet serta jalur lebar ini, pendekatan baru patutlah diambil oleh SPR bagi menjayakan proses mendaftar pemilih baru. Yakni tidak lagi seperti yang diamalkan sekarang yang didapati menyulitkan. Bukankah lebih mudah jika dapat mendaftar di rumah masing-masing daripada perlu pergi ke kaunter-kaunter dan mengisi borang tertentu?

Setakat ini promosi untuk tujuan tersebut amat kurang. Sepanjang dua tahun kebelakangan ini tidak terdengar langsung apa-apa promosi melalui akhbar dan juga media elektronik, khasnya televisyen. Yang nyata hanyalah kelihatan kaunter-kaunter pendaftaran di tempat-tempat tertentu. Bagaimana pula orang ramai yang langsung tidak berurusan dengan pejabat pos, jika kaunter diletakkan di situ?

Barangkali tidak akan menjadi kesalahan jika SPR dapat menyediakan sedikit insentif kepada orang ramai yang datang mendaftar. Rasanya dengan cara ini pasti hasrat menambah bilangan pemilih baru akan menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment