Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Tuesday, July 13, 2010

ADUN Kuang diarah keluar dewan



SHAH ALAM 12 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idros hari ini digantung daripada menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama sehari kerana enggan berhenti mempersoal mengapa usulnya mengenai isu pasir ditolak seperti yang diarahkan.

Arahan itu dikeluarkan Speaker, Teng Chang Khim yang berang dengan tindakan Abdul Shukor daripada Barisan Nasional (BN) yang enggan duduk dan berhenti bercakap walaupun beberapa kali diminta berbuat demikian sehingga berlaku perang mulut antara mereka selama 10 minit. Antara isu yang dibangkitkan Chang Khim semasa perang mulut itu adalah peraturan mana yang digunakannya Abdul Shukor untuk berdiri dan berbahas.

Sebaik dikenakan tindakan berkenaan, Abdul Shukor keluar dari Dewan dengan turut disertai semua wakil rakyat BN. Abdul Shukor yang ditemui pemberita di lobi Dewan Annex berkata, tindakan Chang Khim menghalangnya berbahas merupakan satu usaha kotor kerajaan negeri menghentikan isu pasir dibentangkan dalam Dewan. Katanya, beliau meminta supaya isu pasir diberi masa yang sesuai untuk dibahaskan berikutan masalah kecurian pasir berleluasa di Selangor sedangkan kerajaan negeri tidak memaklumkan berapa banyak pasir yang sudah dikorek keluar dari negeri itu.

Menurut Abdul Shukor, beliau juga tidak berpuas hati apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan nilai royalti pasir yang berbeza-beza setiap kali ditanya. "Saya hantar usul pada 24 Jun lalu tetapi ditolak. Kemudian saya kemas kini dan hantar lagi pada 25 Jun, tiada balasan," katanya. Menurutnya, beliau melihat perkara itu satu penipuan berikutan Abdul Khalid sering memberi angka berbeza-beza membabitkan jumlah royalti yang boleh dipungut kerajaan negeri hasil perlombongan pasir di negeri itu.

Beliau juga kesal kerana diperolok-olokan oleh Chang Khim kerana Speaker itu berulang kali memintanya mengemukakan peraturan Dewan. "Peraturan pertama sudah cukup untuk mengizinkan saya untuk bertanya. Itu hak saya. Kenapa nak tanya lagi (peraturan Dewan). "Kalau Speaker ikhlas, beliau boleh terima soalan saya, (dan) tidak payah momokkan saya dengan peraturan Dewan. Beliau pun pernah baling buku peraturan Dewan," katanya.

Kata beliau, tidak wajar kalau isu ini ditolak daripada dibahaskan di Dewan kerana ia juga pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam sehingga menyebabkan satu sesi pendengaran awam dijalankan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

No comments:

Post a Comment