Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Tuesday, June 29, 2010

Benar, kita masih di zon selesa...

SAYA membaca tulisan Saudara Shuibdiera yang tersiar dalam ruangan ini (25 Jun 2010) dengan perasaan bangga dan lega. Saya bersyukur bila mana menyedari ada anak muda profesional Melayu Islam yang membaca Utusan Malaysia, akhbar yang menjadi tempat orang Melayu meluahkan perasaan melahirkan pemikiran.

Ironinya ia berlaku dalam kesibukan sesetengah pihak melakukan pelbagai usaha memulau, melabel dan meruntuhkan reputasi Utusan. Ini menggambarkan betapa saudara berjaya membebaskan diri daripada 'perangkap persepsi negatif'.

Saya juga berasa lega apabila ada lagi anak muda Melayu Islam yang menggunakan hak sebagai pengundi menghormati kehendak demokrasi (walaupun sebagai pengundi atas pagar). Kajian menunjukkan bahawa peratusan anak muda Melayu Islam yang mendaftar sebagai pengundi baru amat rendah berbanding kaum lain.

Saya semakin lega dan amat bersyukur menyedari bahawa ada anak Melayu Islam seperti saudara yang berkongsi kerisauan melihat kegagalan agensi- agensi kerajaan melaksanakan dasar yang digubal khasnya bagi membantu rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik. Tentunya saudara menyedari bahawa kegagalan sebahagian perancangan adalah akibat kelemahan pelaksanaannya.

Saya juga seperti saudara, melihat betapa Datuk Seri Najib 'bersendirian' dalam usaha merasai denyut nadi rakyat. Benar, ada pimpinan kerajaan dan parti tidak cukup kuat menjayakan dasar yang disepakati bersama. Slogan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' seakan kurang dihayati. Ada pemimpin tidak ghairah turun ke bawah kerana selesa berada di atas.
Bagaimanapun izinkan saya untuk melontarkan beberapa pandangan.
1. Parti pemerintah, insya-Allah tidak akan lena dan alpa dengan pujian. Rasulullah sendiri banyak kali memuji sahabat secara terbuka sebagai usaha mengangkat 'harga diri' mereka. UMNO khasnya dibina atas resah gelisah umat Melayu apabila dipaksa menerima Gagasan Malayan Union. Nasib bangsalah yang menjadi perkiraan ketika itu. UMNO jugalah yang menggubal dan melaksanakan dasar sehingga lahir orang seperti saudara, profesional, bijak dan berani. Bahkan inilah juga dasar yang melahirkan Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim, Lim Kit Siang dan Karpal Singh. Mana mungkin parti sehebat ini terbuai dengan satu pujian.
2. Apabila saudara mengajak untuk menilai dan menganalisis siapakah anak muda yang hadir ke perhimpunan atau mesyuarat UMNO, saya yakin saudara adalah seorang yang amat berhati-hati. Ini sikap terpuji sebenarnya tetapi sikap berhati-hati jangan dicampuradukkan dengan sangkaan buruk. Sangkaan buruk akan melemahkan jiwa saudara. Inilah 'keramatnya' UMNO. Datanglah sesiapapun kepada UMNO. Pintu UMNO sentiasa terbuka.
3. Apabila saudara menyatakan ada lagi rakyat yang tidak menerima kesan kemakmuran negara, ini juga sebahagian kejayaan kerajaan. Kerajaan yang gagal tidak akan membenarkan berita derita ini tersiar di media. Kerajaan yang berjaya ialah yang sanggup menerima teguran dan segera memperbaiki keadaan. Saudara tentunya dapat melihat usaha yang sedang giat dijalankan sekarang.

Akhirnya, apabila saudara bertanya adakah kita berada di Zon Selamat, saya dengan yakin ingin menyatakan kita memang berada di Zon Selamat selagi ada orang seperti saudara yang mahu, sanggup dan berani berpencak di gelanggang UMNO. Ayuh mari kita teruskan perjuangan.

No comments:

Post a Comment