Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Thursday, July 1, 2010

Tidak risaukah kita dengan daftar pemilih... Tugas Siapa?

Dalam amalan demokrasi, kemenangan kepada calon yang bertanding di dalam pilihanraya boleh ditentukan walaupun hanya mendapat kelebihan satu undi. Kemenangan ini dapat menentukan siapa atau parti mana yang akan mempunyai kuasa politik untuk membentuk kerajaan.

Atas dasar ini, wujud kebimbangan mengenai kuasa politik orang melayu, apabila pendedahan yang dibuat oleh Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO, Mohd Hishamudin Yahya melalui kajian yang dibuat oleh pihaknya merangkumi aspek umur dan jantina termasuk golongan muda dan tua mendapati nisbah orang melayu dan bukan melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru adalah pada kadar 1:40 iaitu satu melayu dan 40 bukan melayu sejak pilihanraya umum (PRU) 2008 sehingga kini.

Jika kita lihat, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat, 4.3 juta rakyat malaysia yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih dan SPR juga mengakui bahawa lebih ramai pengundi bukan melayu yang mendaftar sebagai pengundi selepas PRU 2008.

Kenyataan Timbalan pengerusi SPR di mana parti DAP paling aggeresif menjalankan program daftar pemilih baru di kalangan orang Cina sepatutnya menyedarkan orang-orang melayu khasnya belia melayu yang masih belum mendaftar sebagai pengundi walaupun sudah mencapai umur 21 tahun bahawa kuasa politik orang melayu bakal hilang kerana sikap tidak endah dan selesa dengan apa yang ada kini. Apabila melayu hilang kuasa politik, maka segala keistimewaan yang dinikmati oleh orang melayu seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan lambat-laun akan hilang begitu saja.

Sikap dan peranan yang dimainkan oleh mereka yang bertanggungjawab kurang diberi perhatian, malah kesedaran mengenai pentingnya untuk mendaftar sebagai pemilih dan mengekalkan kuasa politik di tangan Melayu amat rendah di kalangan belia melayu termasuklah di kalangan ahli UMNO sendiri. Ini berdasarkan fakta, seramai 661,231 daripada 3.16 juta ahli UMNO belum mendaftar sebagai pengundi.

Justeru, demi mengekalkan kuasa politik Melayu, tanpa mengira fahaman politik, usaha-usaha untuk menyedarkan generasi belia melayu tentang signifikannya daftar pemilih yang menjurus kepada survival politik melayu hendaklah digiatkan lagi melalui berbagai pendekatan yang boleh melaksanakan sama ada melalui kempen di media cetak dan elektronik dan juga kempen secara bersemuka.

Jika UMNO ingin memastikan kuasa politik melayu yang ada pada UMNO terus meneraju Kerajaan Malaysia, segala usaha di peringkat Pusat, Bahagian, Cawangan perlu digerakkan.
Begitupun, untuk melengkapkan proses transformasi politik itu, ia memerlukan sifat berani terutamanya dalam kalangan pemimpin UMNO di pelbagai peringkat kerana merekalah yang bertanggungjawab mencorak dan menentukan hala tuju parti tersebut. Sebaliknya, penyokong parti pula tidak mempunyai apa-apa 'kuasa' dalam soal ini. Para pemimpinlah yang menentukan jatuh bangunnya UMNO sebagai sebuah parti politik nasionalis Melayu.

Justeru, perubahan ke arah proses transformasi politik dalam UMNO mesti diterajui oleh para pemimpinnya di pelbagai peringkat terutama pemimpin atasan yang 'beribu pejabat' di PWTC. Sebagai pemimpin tertinggi parti, mereka mesti berani membuat keputusan-keputusan 'strategik', bukan sahaja untuk masa depan UMNO tetapi juga orang Melayu dan Malaysia amnya.

Tanpa sifat berani, tiada apa yang boleh dilakukan oleh UMNO untuk memulihkan imej dan kredibilitinya pada 'mata rakyat'. Masih belum terlewat bagi UMNO untuk berbuat demikian. Sebaliknya, jika UMNO 'takut' untuk berubah, mungkin satu hari nanti, ia hanya 'berada' di muzium dan arkib menjadi tontonan pelawat sebagai 'bahan' sejarah yang membuktikan bahawa negara ini pernah pada satu ketika dahulu diperintah oleh sebuah parti politik nasionalis Melayu yang dikenali sebagai UMNO.

Trend dan nisbah 1:40 daftar pemilih ini perlu diatasi segera. Jangan sampai "nasi sudah menjadi bubur". Pada ketika itu, menangis air mata darah sekalipun sudah tidak berguna lagi. Kita jangan lupa, pada PRU ke-13 nanti faktor pengundi muda (baru) akan menjadi penentu kepada kemenangan parti yang bertanding di kebanyakan kawasan pilihan raya.

Jika dilihat paparan daftar pemilih di atas, Selangor mempunyai sejumlah 799,001 pengundi yang belum berdaftar dari jumlah pengundi seramai hampir 2.5 juta. Sudah pastinya perangkaan ini memberi kesedaran kepada Bahagian-Bahagian UMNO di Negeri Selangor memastikan seluruh kepimpinan sayap tidak kira Wanita, Pemuda dan Puteri menggerakkan kerja dan mencari pengundi baru serta memastikan ahli-ahli UMNO sudah di daftarkan sebagai pemilih. Perkara ini sebagai langkah serta pendekatan bagi memastikan UMNO kembali menawan Selangor pada PRU ke-13. Masa yang kurang dari 2 tahun ini memerlukan pengorbanan, jika kita ingin lihat kuasa politik melayu terus dipertahankan.

No comments:

Post a Comment