Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Thursday, June 24, 2010

7 sebab pembangkang mahu pilihan raya segera

Petikan UM 24hb Jun 2010,

SEJAK akhir-akhir ini timbul keghairahan khasnya parti pembangkang untuk memperkatakan Pilihan Raya Umum ke 13. Umum menyedari bahawa kita masih mempunyai masa sebelum tempoh sebenar wajib pilihan raya sampai iaitu pada tahun 2013.

Pihak pembangkang seakan-akan terdesak termasuk membuat cabaran agar Parlimen segera dibubar, kononnya bagi rakyat membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan sedia ada.
Hakikatnya pilihan raya pasti akan diadakan sebagai memenuhi tuntutan demokrasi. Saya menjangkakan sekurang-kurangnya tujuh sebab mengapa pembangkang ingin pilihan raya segera diadakan:-

Pertama
: Pembangkang dapat melihat dan merasakan momentum sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) semakin meningkat. Sikap rendah diri dan prihatin yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri memang menggusarkan pembangkang. Ungkapan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' seakan menjadi fenomena dalam negara.

Kedua: Sikap dan pendekatan Perdana Menteri sebenarnya merangsang para menteri dan wakil rakyat bekerja lebih tekun dan gigih. Banyak masalah rakyat yang tertunggak selama ini dapat diselesaikan. Dalam kegawatan dan kemelesetan ekonomi, rakyat sebenarnya masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Pembangkang gagal membuktikan bahawa ada rakyat benar-benar menjadi mangsa kemelesetan ini.

Ketiga: Mesyuarat UMNO Cawangan dan Bahagian yang telah dan sedang berlangsung menunjukkan bahawa UMNO berada pada landasan yang betul. Kehadiran ramai golongan muda dalam mesyuarat tersebut menggambarkan bahawa UMNO memang mempunyai pelapis. Bahkan untuk memilih perwakilan ke Perhimpunan Agung, ahli UMNO tidak lagi ghairah berebut tempat. Kekukuhan UMNO memang tragedi bagi pembangkang.

Keempat: Pembangkang ketiadaan isu jelas untuk dilontarkan kepada rakyat. Isu lama diulang-ulang sehingga menimbulkan rasa bosan bahkan setiap isu ini tidak pula dapat dibuktikan. Program dan ceramah pembangkang juga didapati semakin hambar dan kurang sambutan

Kelima: Percubaan banyak pihak untuk 'membersihkan imej' Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya tidak berjaya termasuk yang cuba dilakukan oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Keenam: Muktamar Pas yang baru lalu juga gagal menghasilkan sesuatu yang objektif dan jelas. Peserta muktamar balik tanpa sebarang kerangka kerja yang boleh diguna pakai. Pimpinan menggunakan muktamar sebagai medan membela diri. Pas seakan kehilangan dasar dan arah.

Ketujuh: Negeri yang dikuasai pembangkang masih tidak menampakkan sebarang kejayaan. Rakyat mula menagih janji yang ditabur. Ada negeri dengan jelas menjalankan dasar berat sebelah. Tiada sebarang kemajuan dicapai selain ceramah dan kuliah.
Dalam masa yang sama pimpinan pakatan pembangkang dilihat tidak sekata dalam banyak perkara.
Berasaskan kepada tujuh sebab di atas saya percaya bahawa telah timbul kebimbangan bahawa BN akan menjadi semakin mantap manakala pembangkang menjadi semakin lemah.
Bagi mengelakkan lebih banyak kelemahan terdedah, pembangkang mendesak supaya pilihan raya disegerakan. Hakikatnya ialah, berasaskan apa yang dapat dilihat, pada bila-bila masa pilihan raya diadakan yakinlah rakyat akan menghukum pembangkang.

No comments:

Post a Comment