Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Wednesday, June 2, 2010

Keluar banyak, hasil kurang


UM 2/6/2010:
KUANG 1 Jun - Isu perlombongan pasir sama ada yang berlesen atau secara haram bukan perkara baru di Selangor. Ia dilaporkan berlaku di serata pelosok negeri itu sejak dahulu lagi berikutan permintaan yang tinggi dan keuntungan besar yang dijanjikan oleh industri tersebut. Namun, sejak akhir-akhir ini, aktiviti itu dikatakan semakin tidak terkawal sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat terhadap tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus turut melahirkan rasa hairan dengan aktiviti perlombongan pasir yang semakin menjadi-jadi di seluruh negeri itu. Beliau turut menyifatkan aktiviti itu seolah-olah tiada pengawalan oleh pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan.Lebih menghairankan, katanya, hasil yang diperoleh kerajaan negeri sangat tidak setimpal dengan aktiviti perlombongan yang dijalankan.

"Nampak (aktiviti perlombongan pasir) seperti tiada pengawasan langsung," katanya ketika ditemui di sini hari ini.Beliau mengulas pendedahannya baru-baru ini mengenai aktiviti melombong pasir yang semakin menjadi-jadi di negeri ini termasuk di Kuang sejak pakatan pembangkang memerintah Selangor.

Di Kuang sahaja, terdapat tiga tapak yang telah dikenal pasti oleh Pejabat Khidmat Masyarakat Barisan Nasional (BN) DUN Kuang.Dua daripadanya melibatkan pengorekan pasir di Sungai Kuang iaitu di Kampung Setia dan Kampung Gombak manakala satu lagi berhampiran Taman Rahmat Jaya, Kundang.

Bagaimanapun, ketika tinjauan dibuat, tiada aktiviti mengorek pasir di Sungai Kuang sedang dilakukan, yang menurut penduduk dihentikan setelah ia didedahkan oleh Abdul Shukor kepada media sebelum ini.Di Taman Rahmat Jaya pula, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak telah menempatkan pegawainya untuk mengawasi laluan keluar masuk ke tapak berkenaan.

Difahamkan, tanah berkenaan adalah milik persendirian tetapi pengusahanya tidak memiliki permit untuk mengeluarkan pasir dari kawasan tersebut.Difahamkan juga, terdapat loji mencuci pasir lombong di situ yang turut dipercayai diusahakan secara haram.

Abdul Shukor berharap pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dibuat sepanjang masa, bukan hanya apabila isu itu hangat di dada akhbar.Katanya lagi, beliau percaya banyak lagi lombong pasir wujud di Selangor sejak pakatan pembangkang memerintah tetapi hasil yang diterima amat memalukan."Saya masih ingat pada janji Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) sewaktu ucapan menjunjung kasih di hadapan Tuanku Sultan Selangor di Istana Klang.

"Beliau berjanji bahawa kerajaan negeri akan kumpul dana RM105 juta setahun berbanding hanya RM20 juta ketika di zaman pemerintahan BN."Apa yang berlaku adalah pada tahun lepas mereka hanya mendapat RM6.7 juta. Pada tahun 2008, mereka hanya dapat RM9 juta... tetapi pasir yang keluar, saya percaya berlipat kali ganda jumlahnya.

"Ini berasaskan kepada kewujudan pusat pengeluaran pasir bertambah macam cendawan tumbuh selepas hujan."Kita rugi kalau hasil dikeluarkan sedangkan rakyat tak dapat menikmatinya," katanya.Jelas Abdul Shukor lagi, sewaktu BN memerintah, pengeluaran pasir lebih terkawal kerana permit dihadkan dan syarikat yang mendapat kebenaran membayar premium terus kepada Pejabat Tanah dan Daerah.

Tegas beliau, BN mengehadkan pengeluaran permit agar tidak banyak kawasan terbiar wujud selepas sesuatu tapak ditinggalkan, sekali gus mengawal jumlah kawasan yang tidak boleh diusahakan untuk pembangunan.Mengenai pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mengenai amalan rasuah dalam kerja-kerja pengeluaran pasir di negeri itu, beliau berharap ia dibuat dengan ikhlas.

"Saya terperanjat apabila ahli parti mereka sendiri lantang mengkritik hal ini. Ini mungkin ikhlas. Mungkin juga gimik politik untuk tunjukkan ketelusan atau mungkin beliau kecewa kerana tidak mendapat layanan baik daripada pemimpinnya."Kalau ikhlas saya rasa seronok kerana kritikan bukan datang daripada kita (BN) tetapi orang dia sendiri. Rakyat boleh nilai bahawa benarlah kepincangan berlaku dalam kerajaan pakatan pembangkang di Selangor," katanya.

No comments:

Post a Comment