Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Friday, May 14, 2010

Persepsi, budaya politik UMNO perlu berubah

Petikan UM 14/5/2010,

BARU-BARU ini Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata “UMNO mesti berani membuat perubahan supaya parti sentiasa diterima sebagai parti yang relevan sepanjang masa dan zaman.”
Sememangnya, kenyataan Presiden UMNO ini tepat pada masanya ketika senario politik tempatan dan antarabangsa sedang hebat dilanda ‘angin perubahan’, yang menyaksikan rakyat di serata pelosok dunia bangun mempersoalkan fungsi dan peranan parti pemerintah dalam menerajui tampuk kepimpinan negara. Beberapa kemelut politik dalaman parti juga boleh menjejaskan kredibiliti parti dan sokongan rakyat kepada parti politik.

Sejarah telah membuktikan bagaimana parti politik yang menerajui kerajaan ‘dijatuhkan’ oleh rakyat dalam pilihan raya umum kerana gagal ‘berubah’. Lihat sahaja apa yang telah berlaku di India, Jepun dan Mexico.

Menyedari hakikat ini, kita sangat bersetuju bahawa UMNO perlu berubah untuk terus relevan dalam konteks politik demokrasi di Malaysia, serta supaya ia berada ‘tetap’ di hati rakyat sebagai satu-satunya parti yang boleh diharap untuk menerajui tampuk kepimpinan negara dalam gagasan Barisan Nasional (BN).

Pun begitu, terdapat dua persoalan di sini, pertama, apa atau siapa sebenarnya yang perlu berubah? Kedua, apakah aspek perubahan yang dikehendaki untuk berubah? Untuk membolehkan kita ‘respon’ kepada saranan sebagaimana yang tersebut, kita perlu memahami terlebih dahulu konsep ‘politik kepartian’ dalam sistem demokrasi.
Sistem demokrasi memberikan ruang dan peluang kepada semua individu yang ‘berkelayakan’ dalam sesebuah negara untuk turut serta berperanan dalam proses pembentukan kerajaan dan pemerintahan negara. Oleh kerana jumlah penduduk yang mendiami sesebuah negara tersebut sangat ramai bilangannya, maka usaha pembentukan kerajaan ini biasanya dijalankan menerusi platform parti-parti politik yang berperanan menyatukan ‘suara rakyat’.

Dengan ini, parti politik secara umumnya, berperanan sebagai ‘alat politik’ dalam konteks pembentukan kerajaan sesebuah negara. Manakala pemimpin politik atau ahli politik pula boleh disifatkan sebagai ‘jentera pengerak’ yang membolehkan parti politik berperanan dengan lebih berkesan dalam konteks politik demokrasi. Oleh yang demikian, sebarang bentuk perjawatan politik bukanlah boleh ‘diwarisi’ secara semula jadi.
Jatuhnya sesebuah kerajaan dalam sistem politik demokrasi sebenarnya melambang kejatuhan parti pemerintah yang diterajui oleh pemimpin dan ahli politik parti tersebut. Alasan ‘biasa’ yang sering diberikan apabila sesebuah parti pemerintah dijatuhkan ialah ‘kelemahan’ parti politik tersebut.
Antara faktor pendorong kepada ‘kelemahan’ parti politik hingga membawa kepada kejatuhannya ialah persepsi dan budaya politik ‘songsang’ yang dipegang dan diamalkan oleh ‘segelintir’ pemimpin dan penyokong parti politik tersebut.
UMNO hanyalah sebuah parti politik yang bergabung di bawah gagasan Barisan Nasional serta menjadi sebagai ‘alat’ bagi membolehkan orang Melayu, Cina, India, dan bumiputera membentuk kerajaan di negara ini. Sebagai ‘alat’, UMNO tidak mungkin akan berubah, sebaliknya yang akan berubah ialah ‘jentera’ yang menggerakkan parti tersebut, iaitu pemimpin dan penyokong parti.
Justeru, apa yang perlu berubah dan diubah ialah persepsi dan budaya politik yang dipegang dan diamalkan oleh pemimpin dan penyokong UMNO, bukannya UMNO sebagai sebuah parti politik. Hanya dengan cara ini sahajalah akan memungkinkan UMNO untuk ‘pulih’ semula dan kembali ‘dihati’ rakyat, khasnya orang Melayu.
Mungkin, semua hujah ini agak ‘pedas’ untuk diperdengarkan di telinga segelintir pemimpin dan penyokong UMNO, tetapi semua ini akan menjadi lebih ‘pedas’ dan mungkin sudah tidak berguna lagi kepada UMNO apabila ia diperdengarkan ketika UMNO sudah kehilangan sokongan dan peluang untuk menerajui kerajaan di peringkat persekutuan.

Kenyataan oleh Presiden UMNO tersebut sebenarnya ditujukan kepada semua pemimpin dan penyokong di pelbagai peringkat dengan harapan ia akan dijadikan sebagai panduan dan ‘idea’ yang bernas dalam mencorak masa depan parti tersebut sebagai pendokong dan wadah perjuangan orang Melayu dan Malaysia, amnya.

No comments:

Post a Comment