Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Wednesday, February 9, 2011

Jelaskan sumber kos perundangan Shuhaimi


Pejabat Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei diminta menjelaskan sumber kewangan yang digunakan untuk menanggung kos perundangan Shuhaimi yang menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan menghasut.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, penjelasan itu perlu demi kepentingan rakyat di negeri Selangor kerana mereka berhak mengetahui keadaan sebenar ekoran wujud dakwaan ia menggunakan wang rakyat.

''Jika benar kerajaan negeri menggunakan duit rakyat untuk kos perundangan Shuhaimi, maka ia memang salah kerana Shuhaimi didakwa atas kesalahan menghasut yang dilakukannya sendiri.

''Bagaimanapun, sekiranya pihak Shuhaimi menggunakan tabung parti mereka bagi membiayai keseluruhan kos perundangan itu, ia tidak menyalahi undang-undang,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

UMNO Selangor semalam menyifatkan kerajaan Selangor cuba menyalahgunakan wang rakyat dengan membiayai kos perundangan ADUN Sri Muda yang kini menghadapi pertuduhan di mahkamah atas dakwaan menghasut.

Menurut Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus, tindakan itu dilihat tidak bertanggungjawab kerana peruntukan kerajaan negeri seharusnya digunakan untuk kepentingan rakyat dan bukan individu.

Maamor berharap, setiap pihak yang terlibat mestilah jujur dan amanah kerana jika benar ia melibatkan duit rakyat PPIM sememangnya membantah tindakan tersebut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah, menentang sekeras-kerasnya jika benar dakwaan bahawa kerajaan Selangor membiayai kos perundangan Shuhaimi.

Kata beliau, adalah tidak wajar untuk sesebuah kerajaan negeri menanggung kos perundangan untuk mana-mana individu terutama kes berkaitan hasutan yang dilakukan secara peribadi.

''Wang itu adalah duit rakyat, justeru memang tidak wajar kita gunakan duit rakyat hanya untuk kepentingan seseorang individu. Duit itu untuk keperluan rakyat,'' katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Firdaus turut menggesa pihak pendakwa raya supaya menyiasat kenyataan yang dibuat Shuhaimi itu sebagai kenyataan peribadi atau mewakili kerajaan negeri.

Kata beliau, jika kenyataan hasutan tersebut mewakili seluruh kerajaan negeri, maka kerajaan negeri itu harus didakwa termasuk Menteri Besar dan Exco-Exconya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Shaari Abdullah juga mahu perkara itu diteliti terlebih dahulu.

Kata beliau, wang kerajaan adalah milik rakyat dan ia tidak boleh digunakan oleh mana-mana individu atau mana-mana parti politik.

''Namun, jika kenyataan Shuhaimi itu atas kapasiti sebagai wakil rakyat yang mewakili kerajaan Selangor, maka tidak salah untuk kerajaan negeri menanggungnya.

''Oleh itu, lebih wajar Shuhaimi sendiri menerangkan perkara berkenaan kerana ia telah melibatkan isu keadilan dan keamanan rakyat,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment