Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Wednesday, March 2, 2011

Selangor belakangi sultan

UMNO Selangor kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila mendahului bidang kuasa baginda dalam isu pelantikan Canselor Universiti Selangor (Unisel).

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus (gambar) berkata, tindakan kerajaan negeri menerusi exconya, Dr. Halimah Ali mengumumkan pelantikan Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda sebagai Canselor Unisel sebelum majlis watikah pelantikan disempurnakan oleh Sultan Selangor pada hari ini tidak wajar dan dilihat cuba membelakangkan baginda.

Katanya, Halimah tidak sepatutnya mengumumkan perkara itu terlebih dahulu kerana hanya Sultan Selangor sahaja yang berhak melantik Raja Arshad untuk mewakili baginda sebagai Canselor universiti milik kerajaan negeri itu.

Malah katanya, berdasarkan perlembagaan Unisel, Canselor Unisel ialah Sultan Selangor atau wakil yang dilantik sendiri oleh baginda, bukannya kerajaan negeri apatah lagi Halimah.

"Maka, kita lihat kerajaan negeri tidak menghormati kedudukan Sultan Selangor termasuk bidang kuasa yang ada pada baginda dalam pelantikan itu.

"Sebagai rakyat Selangor, kita kesal akan perkara ini. Malah sikap tidak hormat kepada Sultan Selangor semakin berleluasa dilakukan oleh kerajaan negeri pada hari ini.

"Sebelum ini kerajaan negeri membantah perkenan baginda dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Sekarang ini kerajaan negeri mengamalkan sikap sedemikian dalam isu pengumuman pelantikan Canselor Unisel," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Shukor mengulas titah Sultan Selangor hari ini yang mahu semua pihak mematuhi peruntukan perlembagaan Unisel yang menetapkan bahawa pemilihan dan pelantikan canselor universiti itu di bawah bidang kuasa baginda.

Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang turut kesal dengan sikap kerajaan negeri yang didakwa cuba menerapkan unsur-unsur politik kepartian di dalam pengurusan termasuk para pelajar universiti itu.

Katanya, penerapan unsur sedemikian jelas dilihat apabila kerajaan negeri membenarkan ahli politik, termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan ceramah di universiti itu selain mengheret pelajarnya mengadakan demonstrasi jalanan sebelum ini.

"Apakah yang cuba dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap Unisel? Apakah mereka mahu menjadikan universiti ini pusat pendidikan atau tempat berpolitik kepartian?

"Ketika ini Unisel difahamkan mengalami masalah kewangan yang teruk, termasuk bilangan pelajar yang semakin menurun. Sekiranya kerajaan negeri terus bermain politik, Unisel akan terus berada dalam keadaan yang sukar, termasuklah hilang keyakinan para ibu bapa," katanya.

No comments:

Post a Comment