Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Monday, March 7, 2011

ADUN cadang saman MB


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana memfitnahnya terlibat dalam penerbitan dan pengedaran akhbar Selangor Terkini.

Abdul Shukor berkata, tindakan Abdul Khalid itu telah memberi reputasi buruk terhadap beliau sebagai wakil rakyat.

“Kenyataan Abdul Khalid itu begitu celupar apabila mengaitkan saya secara terang-terangan menjadi pengedar serta penerbit akhbar Selangor Terkini.

“Ini satu fitnah oleh Menteri Besar dan beliau tidak boleh terus menerus menuduh saya tanpa usul periksa. Oleh itu saya tidak teragak-agak untuk menyaman Abdul Khalid berhubung perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Shukor berkata, beliau akan berbincang dengan UMNO Selangor serta peguam beliau mengenai perkara berkenaan.

Katanya, pandangan yang disiarkan dalam Selangor Terkini merupakan rintihan dan masalah yang sememangnya dihadapi oleh rakyat.

“Secara kebetulan kandungan Selangor Terkini adalah sama dengan pandangan saya mengenai pentadbiran negeri.

“Tetapi, saya tidak ada kaitan langsung dengan akhbar ini. Malah, saya sendiri tidak tahu siapa yang menghantar salinan penerbitan tersebut ke pusat khidmat saya di Kuang dan individu berkenaan juga mengambil kesempatan mengedarkannya di salah satu program di kawasan ini,” katanya.

Jumaat lalu, Kerajaan Negeri menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus yang secara terbuka mengaku memiliki dan mengedar akhbar tanpa permit, Selangor Terkini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menghantar sepucuk surat kepada Abdul Ghani berhubung perkara itu semalam.

Katanya, tindakan Abdul Shukor telah memberi imej buruk terhadap wakil rakyat kerana perbuatannya itu menunjukkan seolah-olah beliau menyokong bahawa sesebuah penerbitan tidak memerlukan kebenaran Kementerian Dalam Negeri.

Abdul Shukor berkata, tindakan Kerajaan Negeri itu seolah-olah ‘takut dengan bayang-bayang sendiri’.

“Dulu mereka berjuang untuk kebebasan bersuara tetapi kenapa apabila ada akhbar Selangor Terkini itu mereka seolah-olah takut. Seolah-olah apa yang dilaporkan di dalam akhbar tersebut benar dan sekali gus terkena batang hidung mereka sendiri.

“Jelas mereka takut rakyat Selangor mendapat maklumat yang betul apa yang mereka buat sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment