Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Tuesday, March 16, 2010

Angkat martabat peniaga kecil



Petikan dari SH 16 Mac 2010


RAWANG – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) diharap terus membantu peniaga kecil terutama Bumiputera dalam mengembangkan usaha dan perniagaan yang dijalankan. Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Selayang, Abdul Shukur Idrus berkata, usaha Fama sebelum ini yang telah banyak melahirkan peniaga serta usahawan dengan memberi ruang pasaran kepada mereka perlu diteruskan demi mengangkat martabat mereka ke peringkat lebih tinggi. “Inisiatif Fama mewujudkan program pembangunan usahawan Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) merupakan langkah terbaik dalam membantu peniaga kecil memajukan perniagaan mereka. “Berdasarkan fokus program ini yang meletakkan sasaran peniaga atau usahawan pemasar buah-buahan dalam pasaran peruncitan yang lebih teratur dan seragam sudah pasti melonjakkan taraf mereka ke tahap lebih tinggi dan sistematik,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sijil Anugerah Usahawan GBBS Terbaik 2009 kepada Abd Wahab Zapar Zakaria di GBBS Rawang di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Fama Negeri Selangor Rohizad Ridzwan. Abdul Shukur yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang berkata, penganugerahan sijil Usahawan Terbaik itu memberi suntikan semangat kepada peniaga buah-buahan seperti Abd Wahab untuk terus berjaya. Menurutnya, kegigihan Abd Wahab juga wajar dicontohi sehingga mampu meraih keuntungan RM1,600 sehari. “Saya mengalu-alukan kepada masyarakat untuk singgah di GBBS ini dan semua yang ada di Selangor dan melihat sendiri buah-buahan yang dijual dan dipasarkan. “Mereka menjual produk buah-buahan segar dan berkualiti malah baik untuk kesihatan,” katanya. Abdul Shukur berkata, peruntukan disalurkan Fama kepada peniaga GBBS bermula serendah RM5,000 hingga RM15,000 merupakan peruntukan besar daripada Kerajaan Pusat kepada rakyat sejak dahulu hingga kini. Sementara itu, Rohizad berkata, kerjasama dan sokongan daripada wakil rakyat amat diperlukan dalam membantu dan mengenal pasti peniaga yang berpotensi untuk dibantu. Sambil melahirkan penghargaan di atas kerjasama ditunjukkan wakil rakyat berkenaan, beliau harap sokongan itu kekal dan berterusan. “Di Selangor terdapat 11 usahawan GBBS yang menerima bantuan Fama dan kesemuanya konsisten dalam mengembangkan usaha mereka. “Fama akan membantu usahawan terbabit menerusi membekalkan produk buah-buahan serta peralatan dalam menggalakkan promosi jualan,” katanya. Menurutnya, Fama telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM 4 juta kepada 11 pengusaha GBBS sepanjang 2009. Usahawan GBBS Terbaik 2009, Abd Wahab yang ditemui bersyukur di atas penganugerahan tersebut dan akan berusaha mengembangkan perniagaannya ke tahap lebih tinggi. Beliau juga berterima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Fama kerana banyak membantu dalam mengembang dan memasarkan jualannya.

No comments:

Post a Comment