Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Friday, November 26, 2010

Perbetulkan peranan pendakwah elak kelirukan masyarakat



DALAM era globalisasi pendakwah Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada aspek yang boleh membentuk masyarakat menjadi orang yang beriman dan mampu menghadapi sebarang rintangan dan pergolakan di kalangan umat Islam. Cara pendakwahan juga menentukan keberkesanan dalam pendakwahan.

Setiap pendakwah amat perlu memahami matlamat dan objektif pendakwahan. Jika objektif pendakwahan itu dengan tujuan untuk mempengaruhi masyarakat menjauhkan diri daripada golongan tertentu maka intisari penceramahan tersebut tersasar daripada matlamat awal dakwah.

Dakwah Islamiyah sering diselewengkan oleh umat Islam kerana kebanyakan daripada penceramah agama lebih menumpukan perhatian kepada perjuangan politik melebihi kepentingan agama dan umat.

Apabila suasana begini wujud maka usaha untuk mendidik masyarakat menjadi orang Islam beriman akan gagal kerana intisari dalam ceramah lebih mirip kepada kutukan dan ejekan. Sikap mengutuk dan mempersendakan individu-individu dan golongan tertentu menjadi lumrah kepada kebanyakan penceramah agama di dunia Islam masa kini.

Pergerakan Jamaah Islamiyah di Mesir yang dikenali oleh media sebagai Tanzim al-Jihad menggunakan Syeikh Omar Abdul Rahman, seorang ulama buta mengeluarkan fatwa yang mengejutkan masyarakat Mesir.

Ahli-ahli pergerakan tersebut menggambarkan kepada beliau betapa jahilnya masyarakat Islam Mesir sehingga beliau mengeluarkan fatwa bahawa masyarakat Mesir adalah 'beruk' atau 'monyet'. Fatwa Umar Abdul Rahman ini bukan sahaja diamalkan oleh Pergerakan Tanzim al-Jihad malah ia juga menjadi fatwa kepada penceramah radikal di Malaysia.

Pendakwah sepatutnya memahami realiti kehidupan masyarakat di sekeliling mereka dan menggunakan akal yang rasional dalam merancang program dan pendekatan dakwah kepada masyarakat. Jika masyarakat jahil tentang agama Islam pendakwah sepatutnya menumpukan perhatian kepada aspek yang boleh memperkukuhkan akidah Islam dan mengajar serta menggalakkan mereka mengamalkan perkara-perkara berkaitan dengan fardu ain terlebih dahulu daripada membicarakan perkara-perkara yang menyukarkan akal fikiran masyarakat dan menyebabkan mereka merasai betapa sukarnya menjadi umat Islam.

Rasulullah SAW menyeru pendakwah Islam supaya memahami kecapaian akal fikiran manusia ketika berdakwah. Sikap radikal dan 'ujub (merasai diri terlalu warak dan beriman) bukan merupakan sifat pendakwah Islam. Kuliah subuh sepatutnya digunakan untuk menerapkan ilmu wahyu dalam hati nurani masyarakat bukan menghemburkan cacian dan cercaan kepada orang yang tidak bersefahaman dengan ideologi politik.

Pendakwah Islam masa kini sepatutnya memahami bahawa proses globalisasi sedang melanda umat Islam dalam dunia yang serba canggih dan membangun seperti Malaysia. Remaja dan muda-mudi Islam mengalami kehausan kerohanian yang memerlukan kepada bimbingan agama dan asuhan daripada para pendakwah dan sarjana Islam.

Ketika ini peranan utama pendakwah Islam ialah mengadakan pelbagai program dan bergaul bersama remaja dan masyarakat supaya mereka merasai para pendakwah merupakan tempat rujukan dan aduan berkaitan dengan kegelisahan dan kehausan kerohanian mereka.

Ceramah dan forum sahaja tidak mencukupi untuk membanteras gejala sosial dan mendidik masyarakat menjadi beriman dalam era globalisasi. Intisari ceramah yang disulami dengan cacian dan cercaan tidak akan dapat menyerapkan cahaya ilmu wahyu ke dalam hati nurani umat Islam kerana wahyu Ilahi diibaratkan sebagai cahaya yang terlalu terang yang hanya dapat dipantulkan kepada masyarakat secara hikmah dan lunak.

Pendakwah Islam sepatutnya menjadi orang yang paling sabar menghadapi kerenah masyarakat kerana peranan mereka ialah mendorong masyarakat ke arah syurga. Jika hati nurani pendakwah dilatih menjadi orang yang sabar dan mempunyai azam yang kuat untuk mendorong masyarakat ke arah kebahagiaan hakiki iaitu memasuki syurga, mereka tidak akan menghina dan mempersendakan orang yang jahil agama.

Sikap gemar mengejek dan merendahkan keperibadian orang lain bukan merupakan ciri-ciri pendakwah yang berwibawa.

Realiti yang wujud masa kini ialah terdapat pendakwah Islam kurang perihatin terhadap akhlak Islam dalam penyampaian ilmu wahyu. Sentimen politik lebih mempengaruhi pemikiran mereka ketika menyampaikan ilmu wahyu. Sepatutnya penceramah memahami bahawa orang yang hadir dalam majlis ilmu wahyu ialah orang yang mengharapkan panduan dan didikan agama bukan kutukan dan cercaan. Sedangkan mencerca orang musyrik pun dilarang oleh Rasulullah SAW.

Perkara ini dijelaskan oleh Abu Hurairah r.a. dengan katanya, "Seseorang meminta Rasulullah SAW supaya baginda mendoakan orang musyrik mendapat bala bencana. Baginda menjawab, "Aku bukan diutus menjadi tukang laknat tetapi untuk menjadi rahmat." Sabda baginda ini sepatutnya dijadikan panduan kepada pendakwah Islam.

Bagi menyemarakkan seruan Islam dalam era globalisasi masa kini maka para pendakwah dan sarjana Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada latihan kerohanian masyarakat Islam. Tugas ini memerlukan pengorbanan masa dan tenaga dan kerjasama masyarakat Islam keseluruhannya. Penyatuan masyarakat sepatutnya dijadikan agenda utama pendakwah Islam dalam menyusun strategi syiar Islam bukan mempengaruhi masyarakat bertelingkah dan bermusuhan sesama sendiri.

No comments:

Post a Comment