Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Thursday, October 28, 2010

Bantahan DAP agenda cuba 'membutakan' rakyat



Tindakan DAP membantah keputusan Kementerian Pelajaran menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 mungkin merupakan agenda parti itu untuk 'membutakan' rakyat mengenai asal-usul penubuhan negara ini.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus (gambar) berkata, sebenarnya tiada sebab DAP mahu mempertikaikan keputusan tersebut kerana ia bertujuan melahirkan generasi yang tahu asal-usul serta perkembangan negaranya sendiri.

Menurutnya, keputusan itu mempunyai rasional kerana penghayatan terhadap sejarah mampu meningkatkan jati diri serta semangat patriotisme di kalangan generasi muda.

''Tidak timbul isu UMNO menentukan segala-galanya kerana pengumuman itu adalah bersifat nasional. Yang menjadi persoalannya kenapa DAP begitu bersungguh-sungguh menentang keputusan ini.

''Apakah DAP mahu 'membutakan' rakyat khususnya generasi muda daripada memahami serta menghayati sejarah negara melalui penekanan mata pelajaran Sejarah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Rasah daripada DAP, Loke Siew Fook pada satu sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam yang mempersoalkan keputusan itu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Menurut Siew Fook yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), pengumuman Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sepatutnya dibawa ke Kabinet, bukannya menerusi perhimpunan parti itu.

Malah, Siew Fook turut melemparkan tuduhan bersifat melaga-lagakan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) apabila menyatakan kononnya UMNO sahaja yang menentukan dasar kerajaan kerana keputusan Muhyiddin itu dibuat tanpa melibatkan MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain.

Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang berkata, kenyataan Siew Fook itu mungkin kerana DAP tidak mahu mata pelajaran Sejarah dijadikan subjek wajib lulus.

Ini kerana jelasnya, sejarah negara hakikatnya melibatkan penglibatan serta peranan UMNO dan pemimpin daripada parti komponen BN dalam membentuk Persekutuan Tanah Melayu sebelum mencapai kemerdekaan sehingga ke hari ini.

Jelas beliau, sepatutnya DAP tidak perlu berfikiran negatif atau menjadikan keputusan itu sebagai isu politik kerana ia bertujuan memupuk perpaduan nasional di kalangan generasi muda.

''DAP tidak boleh memadamkan sejarah, tamadun serta peranan pemimpin terdahulu yang menjadi asas pembentukan negara ini. Generasi muda berhak dan harus mengetahui, memahami serta menghayati sejarah melalui penekanan pembelajaran di sekolah," ujarnya.

No comments:

Post a Comment