Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Saturday, December 4, 2010

Tambah peruntukan pesakit AIDS

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menambah peruntukan bagi membantu golongan penghidap HIV/AIDS yang terpinggir dan daif.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia merupakan sebahagian pelaksanaan fasa kedua bagi program lima tahun di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Beliau berkata, sejak tahun lepas, pihaknya menjalinkan perkongsian pintar dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyalurkan bantuan kepada golongan tersebut.

"Ia membabitkan tujuh rumah perlindungan yang memberi manfaat kepada 664 pesakit bagi mendapatkan rawatan dan pemulihan.

"Bagi fasa kedua, kita akan menambah lagi bantuan kepada 14 rumah perlindungan yang membabitkan lebih banyak pesakit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek Projek Anjung Damai, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Mohd. Zaman Khan.

Bantuan berjumlah RM2.318 juta itu bakal disalurkan kepada 14 rumah perlindungan di bawah naungan Majlis Aids Malaysia yang bertujuan menaik taraf, membaik pulih serta mempertingkatkan perkhidmatan rumah perlindungan tersebut di seluruh negara.

Shahrizat berkata, pihaknya sentiasa komited dan menyokong usaha yang dimainkan oleh NGO dalam menjaga golongan terpinggir seperti pesakit HIV/AIDS.

Malah, katanya, berikutan peningkatan bilangan wanita yang menghidap HIV/AIDS, pemberian bantuan seperti itu adalah signifikan selain pelbagai program advokasi yang dilaksanakan.

Ini memandangkan, kata beliau, urusan menjaga golongan tersebut merupakan tanggungjawab bersama antara kerajaan, NGO, individu dan ahli masyarakat.

Dalam usaha memberi pendidikan kepada wanita mengenai gejala ini, kementerian juga, kata Shahrizat akan menubuhkan pasukan khas untuk menggerakkan pelbagai program pencegahan, pendidikan, pengurangan stigma dan diskriminasi khusus buat wanita dan gadis.

Dalam perkembangan lain, Shahrizat berkata, kerajaan Barisan Nasional sentiasa prihatin terhadap nasib golongan yang memerlukan dan akan membantu sedaya mampu.

"Apa yang kita janji kita akan buat. BN tak janji benda merepek atau gempak. Kalau tak mampu kita akan beritahu.

"Bukan macam PKR yang cakap mengenai keadilan sosial tetapi gagal mencapai matlamat membantu rakyat," katanya.


No comments:

Post a Comment