Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Thursday, September 9, 2010

Umat Islam perlu bersyukur sambut Aidilfitri dalam keadaan aman - PM



Umat Islam di negara ini perlu bersyukur dengan kemampuan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan aman damai serta dilimpahi kemakmuran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita bebas dari peperangan, konflik, penindasan mahupun bencana alam seperti mana yang dialami atau melanda sesetengah saudara seakidah di seluruh pelusuk dunia,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.
Najib berkata sebagai umat yang bersyukur, mereka perlu berterima kasih kepada kepimpinan negara terdahulu yang telah meletakkan asas kukuh kepada kejayaan Malaysia pada hari ini.

"Terima kasih kita juga ditujukan kepada anggota pasukan keselamatan yang telah mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara sejak dahulu hingga sekarang. Tidak dilupakan, kepada para penjawat awam, guru, para pekerja, petani, peladang, usahawan dan nelayan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, segala usaha dan pengorbanan semua menjadi asas serta landasan kepada apa yang dinikmati bersama.

Najib berkata hakikatnya Malaysia adalah sebuah negara demokratik, majmuk, berbilang agama dan berbagai kaum dengan penganut Islam sebagai penduduk majoritinya.

Katanya, semenjak lebih lima dekad lepas, walaupun negara mengalami pasang surut perhubungan kaum, termasuk tragedi hitam 13 Mei 1969, namun ia berjaya menghadapi segala cabaran nasional dengan sebaiknya.

Menurut beliau, formulanya adalah kerana umat Islam di Malaysia semenjak ajaran agama suci ini tiba di rantau ini, telah mengamalkan pendekatan wasatiyyah atau pertengahan dalam kehidupan beragama.

Katanya pendekatan wasatiyyah inilah juga yang telah menyebabkan Malaysia muncul sebagai antara negara Islam termaju di dunia dan ia juga telah meletakkan umat dan negara di garisan yang betul menuju negara Islam berstatus maju dengan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Beliau juga meminta umat Islam mengelakkan diri daripada terjerumus dengan gejala ekstremisme mahupun kejumudan.

"Sesungguhnya jika kita membuka ruang atau memberi kesempatan kepada gejala-gejala tersebut untuk mekar subur, bererti kita menanam bibit-bibit kehancuran yang akan meruntuh segala yang terbina selama ini,” katanya.

Sebagai penduduk majoriti negara ini, umat Islam mempunyai tanggungjawab moral memikul amanah kepemimpinan negara, tambah beliau, sambil menambah kata ini adalah tuntutan yang umat Islam tidak dapat lari daripadanya.

"Ia menuntut ketegasan, kebesaran jiwa dan sikap berlapang dada. Malah semenjak merdeka kita telah berjaya menunaikan amanah ini dengan sebaik mungkin dan setiap generasi perlu meneruskan tuntutan moral tersebut secara yang lebih baik,” kata Perdana Menteri.

Najib juga berkata akibat mengikut nafsu dan amarah, Islam hari ini menjadi agama yang disalahertikan dengan tanggapan dan telahan yang tidak benar menjadi kelaziman seperti Islam adalah agama pengganas, terkebelakang serta tidak progresif.

"Sesungguhnya ajaran Islam sebenar amat berbeza dari imej dan tanggapan sedemikian. Islam sebenarnya adalah agama yang amat progresif dan toleran. Ia bersifat universal atau sarwajagat. Bahkan cara hidup Islam adalah amat sesuai dengan fitrah manusia dan ia sesuai untuk semua zaman serta situasi,” katanya.

Menurutnya semenjak merdeka kepimpinan negara menyedari bahawa perpaduan kebangsaan serta kestabilan adalah pra-syarat utama kepada kelangsungan dan kebahagiaan nasional.
Dalam konteks ini, katanya, perpaduan nasional tidak akan bersifat mapan dan tuntas kecuali ia diteraskan kepada perpaduan umat Islam yang mantap.

“Apabila umat Islam tidak mampu mencapai ijmak di dalam perkara-perkara asas beragama dan berpolemik pula secara yang tidak berkesudahan serta bersifat memusnah, tidak mungkin cita-cita kestabilan nasional tercapai.

Dari itu, marilah kita menunaikan tanggungjawab kita untuk menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional,” katanya.

Sambil mengajak umat Islam meneruskan tradisi rumah terbuka yang selama ini menjadi amalan, Najib berkata ini adalah tradisi Malaysia yang bitara atau amat unik dan tidak berlaku di mana-mana negara di dunia di mana rakan-rakan dari pelbagai kaum serta agama boleh kunjung mengunjung tanpa sebarang halangan mahupun kebimbangan.

“Runtuhkanlah tembok prasangka dan rungkaikan prejudis dengan membuka seluas-luasnya pintu rumah kita serta pintu hati kita untuk rakan-rakan kita dari pelbagai kaum dan agama di hari yang mulia,” katanya.

"Sehubungan itu, pada kesempatan ini, saya ingin menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya, isteri dan keluarga di atas apa-apa yang terkhilaf.

"Saya berdoa kepada Alllah SWT supaya semua umat Islam dapat menyambut perayaan ini dengan penuh kegembiraaan dan kesyukuran di samping merekayang tersayang,” tambah beliau.

No comments:

Post a Comment