Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut berkata, selain kecekalan Rasulullah itu, semangat perpaduan yang ditunjukkan umat terdahulu harus dijadikan contoh masyarakat Islam di negara ini.
Justeru, katanya, semangat tidak berputus asa dan setiakawan yang ditunjukkan para sahabat nabi sememangnya harus dicontohi supaya umat Islam berusaha mencapai kejayaan biar apa pun halangannya.
"Kita juga harus mempunyai kekuatan, ilmu pengetahuan dan strategi yang cukup serta mendalam. Perkara ini penting untuk mencapai kejayaan keluarga, bangsa dan negara. Mana sikap buruk sebelum ini, kita berhijrah kepada lebih baik.
"Kita boleh mengambil iktibar daripada kejadian malapetaka yang melanda dunia ketika ini dan mengambilnya sebagai pedoman supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhamad Razak Idris berkata, masyarakat sekarang terutamanya belia harus sama-sama berhijrah untuk memajukan serta menguatkan diri ke arah menjadi umat terbaik.
"Untuk mencapai umat terbaik ini, kita haruslah mempunyai kekuatan rohani, ekonomi dan tahap ilmu yang tinggi.
"Masyarakat Islam perlu meningkatkan budaya inovasi dan kreativiti dalam pemikiran dan kehidupan seharian kerana ia adalah jelmaan semangat hijrah dalam membina umat terbaik," jelasnya.
Tambahnya, menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan erti sambutan Maal Hijrah dihayati oleh semua lapisan masyarakat.
"Saya menyeru supaya sambutan Maal Hijrah ini disambut bukan sekadar di peringkat negara, malah di peringkat daerah dan desa yang dianjurkan oleh pertubuhan dakwah dan pertubuhan-pertubuhan lain," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin berkata, sempena menyambut tahun baru 1432 Hijrah, masyarakat perlu berazam untuk menjadi individu yang lebih positif.
"Seperti yang kita ketahui masyarakat kita sekarang ini sedang bergelut dengan gejala sosial yang membimbangkan.
"Sambutan ini boleh diambil untuk mengubah diri menjadi lebih baik. Jika kita terlibat dengan gejala sosial, maka eloklah dihindarkan dan jika tidak terlibat, kita harus membantu membawa orang yang terlibat tersebut ke arah kebaikan," katanya.
No comments:
Post a Comment