Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Monday, May 9, 2011

Jangan fikir tarikh PRU-13





Ahli Pergerakan Pemuda UMNO diminta tidak terlalu memikirkan tentang tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13, sebaliknya menumpukan usaha untuk meningkatkan persediaan bagi menghadapinya.

Naib ketuanya, Datuk Razali Ibrahim berkata, tumpuan perlu diberikan terhadap aspek permainan politik dan taktik pembangkang.


Beliau memberi contoh ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak bulan lepas, pembangkang mula menyerang sewaktu berkempen dan jentera Barisan Nasional (BN) tidak berada dalam keadaan bersedia untuk menangkisnya.


“Ini bermakna kita bukan sahaja perlu mendekati pengundi tetapi berhadapan dengan taktik tidak bertanggungjawab pembangkang yang boleh mempengaruhi pengundi,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Selayang, di sini hari ini.


Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, Pemuda UMNO juga perlu mengikis sikap suka menyalahkan orang lain kerana ia merupakan tabiat orang yang lemah dan gagal.


Kata beliau, sikap suka menyalahkan orang lain hanya akan menyukarkan UMNO untuk bangkit dan melaksanakan agenda pembangunan yang dirancang kerajaan.


Menurutnya, tanggapan bahawa kekalahan BN terutama di kawasan bandar adalah disebabkan pengundi Cina perlu dihentikan, sebaliknya usaha menarik balik sokongan masyarakat itu perlu dipertingkatkan.


“Apa yang penting bagi jentera kita bukan sahaja berkempen di kawasan BN, sebaliknya meningkatkan usaha bagi menarik sokongan di kawasan yang kita kalah pada pilihan raya lepas,” katanya.

Pemandu lori abai muatan - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu membuat pantauan kembali
























KUANG – Sikap pemandu treler dan lori besar yang membawa muatan batu dari kuari melalui kawasan kampung di Jalan Kuang kerana tidak menghiraukan had muatan dibenarkan amat dikesali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus berkata, beliau sering menerima banyak rungutan daripada penduduk mengenai sikap pemandu yang tidak mengendahkan peraturan membawa had muatan tidak boleh melebihi 10 tan di kawasan itu.

“Kita khuatir kegiatan lori kuari kembali beroperasi biarpun sebelum ini berkurangan selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat pantauan. Sikap mereka memandu dengan laju juga merunsingkan penduduk.

“Kita difahamkan pemandu lori mahu mengejar trip. Pendapatan pemandu akan bertambah jika trip lebih banyak, namun ini juga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung aduan penduduk yang bimbang dengan kegiatan lori kuari melalui kawasan kampung di sini yang semakin giat beroperasi.

Menurutnya, beliau berharap anggota JPJ kembali membuat pantauan di Batu 20, Jalan Kuang supaya pemandu lori kuari yang membawa lebihan muatan di situ dapat disekat.

Difahamkan, terdapat kabin disediakan sebagai pondok kawalan JPJ bagi mengawal kegiatan lori kuari di Batu 20 berhampiran Klinik Kesihatan Kuang sebelum ini, namun ia kini kosong sejak lebih setahun lalu.

Dalam pada itu, Abdul Shukor turut melahirkan kekesalan berikutan lori kuari yang banyak melalui kawasan kampung turut merosakkan permukaan jalan raya dan memberi kesan terhadap struktur jambatan di Sungai Kuang dan Sungai Plong.

“Wakil penduduk mendapati terdapat keretakan tiang dua jambatan itu di sebelah bawah. Kita risau kemudahan terbabit yang sering menampung kenderaan melebihi had, boleh merosakkannya,” katanya.

Abdul Shukor berkata, beliau berharap tindakan mengatasi masalah lori kuari sudah mula beroperasi sejak 10 tahun itu tidak hanya diambil setelah berlaku sesuatu tidak diingini atau kejadian meragut nyawa.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu, pihak bertanggungjawab diharap dapat membuat halangan yang sesuai terhadap lori kuari melebihi had.

“Kerajaan Negeri sepatutnya jangan hanya memikirkan keuntungan atau royalti di sebalik aktiviti kuari oleh pengusaha ini. Patut ada jalan alternatif diwujudkan untuk laluan lori berkenaan.

“Mereka boleh bincangkan untuk bina laluan alternatif dari kuari ke lebuh raya berhampiran. Saya percaya jika ini dilakukan, masalah dihadapi penduduk kampung ini boleh diselesaikan,” katanya lagi.

Wednesday, April 6, 2011

Isu Moral, Masalah Anak Syarikat, Jawatan Anwar Perlu Digantung

SHAH ALAM 6 April – Walaupun hanya dibayar RM1 namun kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor digesa untuk menggantung tugas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi negeri.

Ini berikutan Penasihat Ekonomi Selangor itu kini berdepan siasatan berhubung penerbitan sebuah video seks yang dikaitkan dengannya.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata penggantungan tugas sementara ini penting bagi menyelamatkan ekonomi negeri yang kini turut berdepan dengan pelbagai masalah yang melibatkan kerugian banyak anak syarikat kerajaan negeri.

Tegas beliau lagi Anwar juga dilihat begitu tertekan berikutan pelaku yang terlibat dalam video seks tersebut dikatakan mirip dirinya dan fokusnya kepada tugas mungkin terganggu.

Beliau berkata, penggantungan itu juga dapat menjaga imej kerajaan negeri daripada tercemar kerana Anwar sebelum ini menghadapi pelbagai tuduhan berkaitan moral.


“Mustahil Anwar boleh melaksanakan tugasnya dengan baik ketika beliau sedang menghadapi pelbagai tuduhan kesalahan moral termasuk tuduhan meliwat yang kini sedang dibicarakan di mahkamah.

“Untuk itu, kami menggesa supaya kerajaan negeri menggantung tugasnya supaya beliau (Anwar) boleh memberi tumpuan untuk membuktikan yang dirinya tidak bersalah terhadap segala tuduhan yang dihadapinya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran sebahagian daripada video aksi seks didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang yang dimuat naik ke laman YouTube semalam.

Ia didakwa merupakan video sama yang dipertontonkan kepada sekumpulan pengamal media di hotel Seri Carcosa, Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu.

Selain itu, tambah Abdul Shukor, Anwar juga dilihat gagal untuk melaksanakan tugasnya dengan baik sejak beliau dilantik memegang jawatan tersebut.

“Ini dapat dibuktikan lagi apabila ada laporan yang mendakwa anak syarikat kerajaan negeri berbelanja dengan boros tanpa memikirkan kepentingannya kepada rakyat,” tegasnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang.

SJKT Batu Arang dapat bangunan tambahan


RAWANG 5 April – Pembinaan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Batu Arang di sini dijangka bukan sahaja dapat menampung dua kali ganda jumlah pelajar India sedia ada tetapi juga dari kawasan berhampiran lain seperti Kuang, Kundang serta Tasik Puteri sebaik ia siap pada November tahun ini.

Ini kerana bangunan tambahan tiga tingkat yang mengandungi kira-kira 12 buah kelas, termasuk kelas prasekolah itu, berkeadaan selesa dan selamat berbanding sekolah papan sedia ada yang hanya mampu diisi kira-kira 280 pelajar ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus berkata, kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan kontraktor dilantik dan berkeyakinan ia mampu disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta bagi membina bangunan tambahan bagi sekolah itu berikutan bangunan sekolah sedia ada yang didirikan sejak 1928 itu sudah lagi tidak lagi mampu menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat setiap tahun.

“Permohonan untuk mendirikan bangunan tambahan sekolah ini tidak sampai setahun dibuat dan kerajaan pusat telah pun meluluskannya.

“Ini sekaligus membuktikan kerajaan Barisan Nasional sentiasa memastikan keperluan rakyat didahulukan tanpa mengira kaum,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas dibawa melawat tapak pelaksanaan bagi projek membina dan menyiapkan satu blok bangunan tambahan tiga tingkat dan kerja-kerja berkaitan di SJKT, Batu Arang di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis sama ialah Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak, Jamaludin Abdul Majid, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Gombak (Unit Pembangunan Sekolah), Fahrul Radzi Bustamin serta Penolong Kanan 1 (Pentadbiran) SJKT Batu Arang, M. Sellam.

Abdul Shukor berkata, usaha ini juga membuktikan kerajaan tidak pernah terlepas pandang terhadap usaha menyediakan kemudahan pendidikan sempurna untuk kaum India di negara ini.

Thursday, March 31, 2011

Kisah Anwar dan Serigala


Tengoklah Mr. Stereo Type Anwar Ibrahim. Dia tidak akan lari dari plot asal modus operandinya. Semua kisah yang dihadapinya atau kisah yang diciptanya, akhirnya adalah untuk mensabitkan konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya.

Strategi ini amat berkesan pada tahun 1998 yang lalu. Apabila timbul kes liwat 2, dia tuduh sekali lagi ini adalah usaha peringkat tertinggi parti untuk menghalang dia menjadi PM. Tapi tak berapa menjadi seperti tahun 1998.

Roadshow yang cuba dilakukan tidak mendapat sambutan seperti roadshow 1998. Akhirnya dia tak berani lagi nak tuduh konspirasi peringkat tertinggi kerana Saiful Buhkari begitu konsisten dengan pendirian hingga sanggup bersumpah mubahalah.

Jika kes 1998 dia ada asas untuk sabitkan konpirasi peringkat tertinggi kerana Mahathir yang memecatnya dan akhirnya peluang mata lebam telah menambah lagi sentiment rakyat untuk dimanipulasi.

Tapi kes Liwat 2 terlalu sulit untuk dia lakukan sepertimana kes liwat 1 kerana individu yang terlibat secara langsung adalah individu kecil yang bertahap pembancuh kopi saja.


Dalam kes video misteri Mr T juga sama, iaitu dia akan terpaksa berdepan dengan Mr T dan bukan kepimpinan peringkat tertinggi kerajaan.


Itu sebab hari pertama dia buat PC terus lemparkan hearsay, Sb terlibat dengan penayangan video seks di Seri Carcosa.

Hari ini dia terus buat tuduhan terbuka mengatakan DS Najib dan Dato Hishamuddin terlibat secara langsung dengan penayangan video tersebut. Dia ulangi teknik lama dengan mengatakan dia ‘ADA BUKTI’, ala kotak misteri jugaklah.

Ok…Kita tengok seterusnya. Hebat lagi perancangan dia kah atau perancangan Allah…



Dalam kisah klasik dulu-dulu ada disebut dalam kitab. Ada seorang pemuda yang duduk hujung kampung, selalu bagi terkejut orang kampong dengan cara terpekik terlolong mengatakan ada serigala nak makan dia.

Dua tiga kali dia kenakan orang kampong dan setiap kali orang kampong datang untuk menolong, tengok-tengok ini budak sudah tipu.

Akhirnya satu hari ada sekor serigala betul-betul datang nak baham dia, Dia pun terpekik terlolong mintak bantuan orang kampong, tapi tiada seorang pun orang kampong yang datang untuk menolong kerana semua satu kampong dah tak percaya dengan dia.

Akhirnya matilah pemuda tu kena bahammmmm.

Tidak mustahil Anwar Brahim sedang melalui pengalaman yang pernah dilalui oleh pemuda penipu tersebut.

Tuesday, March 29, 2011

Di mana ketelusan Pas?



Para pemimpin NGO sekitar Pulau Pinang mengadakan perhimpunan mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kesahihan video seks melibatkan pemimpin pembangkang di Pulau Pinang, kelmarin.




KITA tidak harus melupakan bahawa dalam kamus politik Pas, ada dua tindakan mereka yang cukup sinonim dengan parti itu, pertamanya solat hajat dan kedua menggesa ditubuhkan suruhanjaya diraja apabila ada isu.

Tetapi sejak kebelakangan ini, Pas tidak lagi bersikap demikian termasuklah dalam isu terbaru berhubung rakaman video seks yang melibatkan seorang pemimpin pembangkang.


Pas bukan sahaja awal-awal lagi menganggap ia konspirasi politik malah menolak cadangan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes itu. Malahan Pas juga tidak kedengaran untuk mengadakan solat hajat bagi memohon petunjuk Allah berikutan isu terbaru yang timbul.


Ia berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 1998, apabila Pas beria-ia menganjurkan solat hajat di pusat tarbiyahnya di Taman Melewar dan mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan.


Entah mengapa kali ini, Pas tidak lagi bersikap telus, sebaliknya tindakan Pas dilihat lebih banyak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Sebab itulah pemimpin Pas boleh mengeluarkan kenyataan bahawa penubuhan suruhanjaya diraja hanyalah mengarut selagi situasi sebenar tidak diketahui.


Apa yang anehnya, Pas sendiri sebelum ini begitu beria-ia benar bersetuju mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock kononnya atas alasan mencari kebenaran.


Namun kenapa dalam isu terbaru ini desakan penubuhan suruhanjaya tersebut dianggap 'mengarut'? Sedangkan kita masih ingat suatu ketika dulu apabila timbul isu, Pas bukan sahaja membuat desakan melalui kenyataan akhbar atau di dalam Dewan Rakyat malah mengadakan siri ceramah.


Namun kini segalanya sudah berubah. Ternyata ikatan setiakawan yang diwujudkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP seolah-olah 'mengunci langkah' Pas untuk menyatakan kebenaran.


Pas tidak mahu membuat tindakan yang dilihat akan menjejaskan hubungan dengan kedua-dua parti berkenaan yang sudah 'membuaikan' Pas dengan impian ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.


Pas tidak mahu peluang politik tersebut terjejas jika apa yang didakwa melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang menjadi kenyataan.


Justeru pemimpin-pemimpin Pas di peringkat pusat 'bersilat lidah' bagi menafikan sebarang usaha yang memungkinkan kebenaran boleh dicapai tetapi dilihat tidak akan menyebelahi mereka.


Semua ini sebenarnya merugikan politik Pas itu sendiri. Sudah pasti ramai yang akan melihat Pas bukan lagi memperjuangkan sesuatu perkara berlandaskan kepada kebenaran tetapi lebih kepada keuntungan politik.


Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sepatutnya Pas bertegas dalam soal melibatkan moral mana-mana pemimpin sama ada kerajaan mahupun pembangkang.


Ramai tertanya-tanya bagaimana jika video seks itu dikaitkan dengan pemimpin kerajaan atau tepat lagi Barisan Nasional (BN), apakah Pas akan mendiamkan diri dan membantah sebarang usaha menubuhkan suruhanjaya diraja?


Sudah pastilah Pas tidak akan membantah sebaliknya akan berterusan bersama-sama dengan PKR dan DAP melakukan desakan kerana percaya ia akan menguntungkan politik pembangkang.


Ia sudah dibuktikan dalam beberapa kes sebelum ini termasuklah berhujah, Islam membenarkan kita mendedahkan peribadi seseorang demi mencari pemimpin yang baik tetapi apabila tercetus isu video seks terbaru ini, Pas seolah-olah menghapuskan sikap telusnya. Soal mencari kebenaran tidak diperkatakan sebaliknya di kalangan mereka menganggap ia taktik politik yang cukup menjijikkan.


Kita tidak faham kenapakah apabila timbul sahaja perkara berkaitan dengan pembangkang ia dianggap konspirasi, fitnah dan berniat jahat, sedangkan kalau sesuatu isu itu melibatkan kerajaan maka pembangkang akan menerimanya sebagai satu fakta biarpun ada antaranya hanyalah fitnah.


Berikutan sikap Pas yang dilihat semakin menenggelamkan sikap telusnya sebagai sebuah parti Islam itulah yang menyebabkan ada desakan supaya Pas menyatakan pendirian secara terus-terang dalam isu terbaru ini.


Mereka tidak mahu Pas yang melaungkan slogan-slogan Islam seolah-olah tidak mahu mencari sebuah kebenaran tidak kira sama ada ia memihak kepada politik pembangkang atau tidak.


Sebenarnya, berdasarkan kepada maklumat yang diterima di peringkat akar umbi Pas, mereka semakin tawar untuk menyokong langkah parti itu terus bekerjasama dengan PKR. Ia disebabkan dengan pelbagai kemelut yang berlaku melibatkan pemimpin-pemimpin parti berkenaan ia turut menjejaskan imej Pas.


Pas masih belum mahu melihat bagaimana tindakan mereka terlalu bersekongkol dengan PKR dan DAP telah memungkinkan parti itu tewas dalam empat pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini.


Dan kini Pas akan menerima padahnya lagi jika mereka terus tidak konsisten dalam isu-isu berkaitan menegakkan kebenaran.


Kalau benar Pas jujur, sudah pastilah parti itu tidak akan awal-awal lagi menganggap apa yang terjadi konspirasi sebaliknya akan berusaha menggesa supaya segala langkah dilakukan bagi membuktikan apa yang berlaku satu konspirasi atau kebenaran.


Pada masa ini, Pas mengambil jalan selamat dengan meminta polis menjalankan siasatan terperinci tetapi soalnya jika siasatan polis tidak menyebelahi pembangkang adakah Pas akan menerima keputusan berkenaan. Adakah ketika ini Pas akan menyebelahi PKR atau bersetuju dengan siasatan polis biarpun mereka tahu ia tidak akan menguntungkan pembangkang?


Justeru adalah wajar jika Pas berhenti daripada terus berdolak-dalih dalam isu terbaru ini. Keadilan dan kebenaran bukan hanya berhak dikuasai oleh pembangkang sahaja tetapi juga pihak-pihak lain di luar lingkungan parti itu.

Jangan heret rakyat dengan skandal pemimpin

MENGENALI taktik Anwar Ibrahim sejak dahulu, sangat tidak menghairankan apabila Ketua Pembangkang itu sering kali mengheret rakyat dalam masalah atau isu moral dan peribadinya.


Bukan sekali dua beliau melibatkan rakyat dalam kes-kes membabitkannya. Ini termasuklah dalam kes liwat pertama dan juga yang kedua.


Tidak cukup dengan ceramah jelajah seluruh negara, Anwar juga memprovokasi rakyat untuk mengadakan perhimpunan haram semata-mata untuk menunjukkan kepada umum bahawa beliau ada sokongan.


Tentu ramai yang masih ingat sebelum ini beliau bersembunyi atau mendapatkan perlindungan di dalam Kedutaan Turki di ibu negara apabila Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis berhubung dakwaan liwat terhadapnya.


Ketika itu, Anwar mendakwa bimbang tentang keselamatan dirinya, lantas sebab itulah beliau berlindung di kedutaan tersebut.


Hakikatnya, apabila beliau menjelajah seluruh negara dan berceramah di banyak tempat, dirinya sentiasa selamat bergerak ke mana-mana tanpa sebarang ancaman.


Yang terbaru, dalam kes video seks yang dikaitkan dengannya, seperti dijangka, beliau sekali lagi menjadikan rakyat sebagai 'benteng' untuk melindungi dirinya daripada tuduhan yang dilemparkan.


Sememangnya Anwar mempunyai hak membuat penafian dan mempertahankan dirinya daripada tuduhan kononnya beliau adalah lelaki dalam video seks melibatkan pelacur dari China itu. Itu tidak dipersoalkan.


Tetapi, tindakannya mengulangi taktik sama iaitu mengapi-apikan emosi rakyat kononnya beliau teraniaya dan menjadi mangsa sehingga membawa kepada rancangan penganjuran perhimpunan-perhimpunan jalanan, itu sangatlah dikesali.


Sama ada beliau sendiri atau parti-parti pembangkang, kini masjid dan surau digunakan untuk berceramah bagi menepis tuduhan demi tuduhan serta skandal melibatkan Anwar termasuk kes video seks tersebut.


Di sinilah ketidakadilan berlaku kerana rakyat terutama umat Islam tertipu setiap kali mahu mendengar ceramah di masjid. Apa tidaknya, mereka ingin mendengar kuliah agama tetapi diperdengarkan dengan ceramah berkaitan isu dan kes melibatkan Anwar.


Persoalannya, mengapakah sejak dulu Anwar tidak mampu mempertahankan dirinya sendiri apabila sesuatu tuduhan berkaitan skandal atau masalah moral dilemparkan kepada dirinya.


Mengapa setiap kali ada dakwaan skandal membabitkannya didedahkan kepada umum, rakyat mesti dilibat sama?


Mengapa mesti mengerahkan rakyat untuk membela dirinya sedangkan ini kes atau skandal peribadi?


Selepas berlalunya beberapa kes melibatkan Anwar bermula sejak pemecatannya daripada jawatan kerajaan pada 1998 sehingga kini, rakyat sudah pasti boleh 'membaca' dan menyimpulkan motif di sebalik taktik beliau mengheret rakyat.


Dalam hal ini juga, rakyat juga tidak seharusnya mudah terlibat atau terperangkap dalam sebarang taktik atau agenda Anwar dalam usahanya untuk membela diri di 'mahkamah terbuka' dalam apa sahaja kes melibatkan dirinya.

Wednesday, March 23, 2011

Zaid hairan Anwar cepat nafi terlibat

Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim hairan dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlalu cepat menyifatkan video aksi seks yang dikaitkan dengan dirinya sebagai satu konspirasi untuk mengaibkan beliau dan keluarga.

Menurutnya, Anwar dan pemimpin pembangkang lain wajar melihat terlebih dahulu rakaman video tersebut sebelum membuat penafian kerana terlalu banyak persoalan yang perlu dijawab.

"Saya tidak boleh komen banyak sebab tidak tengok lagi video itu, tetapi saya hairan pemimpin PKR yang lain terus kata ia satu rekaan, hairan macam mana mereka tahu sedangkan mereka sendiri tidak tengok lagi.

"Pada sidang akhbar semalam, Anwar kata orang dalam video itu gemuk, mana Anwar tahu, dia pun belum lihat lagi. Terlalu banyak persoalan yang perlu dijawab, tetapi saya percaya tidak lama lagi semuanya akan jelas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya Jumaat lalu terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini hari ini.

Zaid mendakwa diugut Karpal berhubung kenyataannya menasihati Anwar supaya menyerahkan sampel DNA tanpa perlu menunggu perintah mahkamah dalam perbicaraan kes liwat yang dihadapinya.

Semalam, Anwar menafikan penglibatannya dalam video aksi seks dengan seorang pelacur dipercayai dari China dengan mendakwa ia satu lagi konspirasi terbaru untuk memfitnah dan mengaibkan beliau dan keluarga.

Dalam perkembangan sama, Zaid yang juga bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan berkata, rakyat telah membuang terlalu banyak masa untuk membincangkan masalah peribadi yang dihadapi oleh Anwar.

Beliau berkata, masa tersebut sewajarnya digunakan sebaik mungkin untuk membincangkan mengenai dasar dan pembangunan negara.

"Parti-parti politik tidak kira Barisan Nasional (BN) atau pembangkang sepatutnya dipimpin oleh pemimpin yang ada integriti.

"Sudah terlalu banyak tuduhan terhadap Anwar dan banyak masa negara dihabiskan untuk membincangkan masalah yang berkisar tentang peribadi Anwar, ini semua buang masa," katanya.

Anwar cuba alih isu DNA



Kepimpinan Pas di kalangan kumpulan ulama dipercayai telah memberi kata dua kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan kebenaran.

Dua ahli Parlimen Bebas, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Zulkifli Noordin mendakwa, maklumat yang diperoleh mereka juga memaklumkan jika Anwar enggan, maka kumpulan ulama itu akan mendesak Pas mengkaji semula hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Zulkifli, maklumat itu diterima mereka daripada rakan lama dalam PKR yang amat diyakini dan dipercayai kerana pernah beberapa kali memberi maklumat tepat sebelum ini.

“Oleh itu, Anwar dalam keadaan terdesak dan terpaksa mengalih isu. Apatah lagi keputusan permohonan pihak pendakwaan meminta Mahkamah Tinggi menggunakan kuasanya untuk mengarahkan Anwar menyerahkan sampel DNA ditentukan esok.

“Di sinilah video itu memainkan peranan,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas mengenai rakaman video aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur asing di sebuah hotel di ibu kota seperti didedahkan akhbar hari ini.

Anwar telah mengadakan sidang media untuk menafikan pembabitannya dalam video berkenaan dan juga membuat laporan polis berhubung kes itu.

“Jangan kita terperangkap. Tiada siapa tuduh Anwar, tetapi dalam masa kira-kira tiga jam selepas pendedahan itu, beliau mampu buat sidang akhbar mendakwa bukan ‘pelakon’ video tersebut selain kata perut buncit. Dia kata tidak tengok, tetapi mana dapat maklumat?

“Selain itu, pagi ini beliau membuat laporan polis, perkara yang tidak pernah dilakukannya dalam tuduhan-tuduhan sebelum ini. Pada saya, kecepatan dan ketangkasan beliau bertindak sangat meragukan. Soalnya, mengapa dalam soal ini cepat bertindak, isu DNA pula lambat?” katanya.

Justeru, beliau mencabar Anwar untuk turut sama bertindak pantas menyerahkan sampel DNAnya bagi menyelesaikan misteri lelaki ‘Y’.

Sementara itu, Zahrain mempersoalkan kenyataan Anwar semalam yang mendakwa video seks itu timbul kerana beliau telah menang di mahkamah dalam kes liwat.

“Bukankah itu merupakan tindakan menghina mahkamah? Bagi saya, beliau bersikap double standard kerana pernah menggesa agar polis menangkap individu mendesak beliau menyerahkan DNA,” katanya.

Jangan terlalu dibuai skandal video seks

Orang ramai diminta jangan terlalu 'dibuai' dengan kejutan skandal video seks yang dikatakan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga terlupa meneruskan desakan supaya ketua pembangkang itu menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

Ini kerana, sejauh mana kebenaran yang mengaitkan Anwar sebagai 'aktor' yang sedang melakukan hubungan seks dengan seorang pelacur warga asing dalam video hitam putih seperti didedahkan sekumpulan lelaki, diketuai Datuk T, masih lagi menjadi persoalan.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, meskipun skandal video seks itu merupakan berita panas tetapi ia tidak seharusnya mengalih perhatian rakyat daripada persoalan utama, iaitu keengganan Anwar menyerahkan sampel DNA.

"Jangan benarkan Anwar menggunakan isu video seks ini sebagai modal untuk meraih simpati rakyat, persoalan utama ketika ini adalah perbicaraan liwat serta keengganan Anwar untuk menyerah DNA. Ini persoalannya dan kenapa Anwar cukup takut kalau benar-benar tidak bersalah.

"Saya melibat ada cubaan di pihak Anwar untuk menggunakan isu skandal video seks ini bagi mengalih perhatian rakyat agar tidak meneruskan desakan supaya beliau menyerah sampel DNA," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Zahid menggesa kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja bagi merungkai ketulenan dan kebenaran video tersebut, selaras dengan kedudukan Ketua Pembangkang sebagai sebuah institusi yang diiktiraf dalam Perlembagaan.

Katanya, suruhanjaya diraja itu wajar ditubuhkan memandangkan Anwar awal-awal lagi sudah menjadikan kerajaan sebagai 'kambing hitam' dengan menuduh rakaman video tersebut adalah rekayasa serta fitnah kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Tindakan terdesak Anwar ini seolah-olah kerajaan Malaysia tiada kerja. Seolah-olah kerajaan hanya pandai memfitnah dan merekayasa video seks untuk menjatuhkannya dan seolah-olah kerajaan tiada kerja melainkan mengikut ke mana sahaja Anwar menginap.

"Ini tuduhan jahat tetapi dengan tertubuhnya suruhanjaya diraja, bukan sahaja kebenaran tetapi lelaki yang mirip Anwar yang perutnya lebih buncit juga dapat dikenal pasti, perakam video juga dapat dikenal pasti, siapa menyimpan dan motifnya juga dapat dikenal pasti," jelasnya.

Sementara itu, mengulas isu berkaitan, Mohd. Zahid membidas Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo'Lo' Mohamad Ghazali sebagai nyanyuk, kerana menuduh kononnya kerajaan cuba menghancurkan negara ini dengan melakukan apa sahaja bagi memburukkan Anwar.

Menurutnya, Lo'Lo' sengaja buat-buat lupa kerana sebenarnya, perbuatan menghancurkan negara didalangi pembangkang yang sanggup pergi ke luar negara bagi mendesak pihak asing campur tangan dan pada masa sama memburukkan Malaysia.